Oleh : Adli Mohamad
KUALA LUMPUR- Gerak kerja kebajikan dilakukan PAS menjadi pemecah tembok antara parti berkenaan dengan masyarakat sebagai tanda kecaknaan dan keprihatinan. Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKKPP), Dr. Rosni Adam berkata, ianya juga menjadi wasilah dakwah bagi menyampaikan mesej Islam.
“Antara visi kita adalah menjadikan organisasi kebajikan PAS ini pilihan rakyat.
“Kita ada target (tahun) 2023 apabila orang sebut tentang kebajikan orang akan ingat PAS.” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvesyen Kebajikan Nasional 2020, di Dewan Seri Kasih Bandar Tun Hussein Onn, pada Ahad 9 Februari.
Jelas Dr. Rosni gerak kerja kebajikan PAS mempunyai capaian yang sangat luas kepada rakyat dan mempunyai visi dan misi tersendiri.
“Misi yang pertama (ialah) menterjemahkan aspirasi parti sebagai parti berkebajikan.
“Yang kedua menjaga kebajikan ahli parti dan ianya perlu difokus,” jelas beliau.
Menurutnya, antara tindakan yang dibuat untuk menjaga kebajikan ahli adalah dengan mewujudkan Unit Murabitun serta SkimPAS.
Selain daripada itu, memperkasakan petugas media untuk lajnah kebajikan juga katanya menjadi misi yang ingin dicapai.
“Antara yang kita pernah laksanakan latihan kepada ‘team’ media kebajikan supaya mereka boleh buat berita, video dan sebagainya (kerana) kerja kebajikan kita banyak saban hari,” kata Dr Rosni.
Tujuan pemerkasaan media kebajikan menurutnya adalah untuk dihebahkan dan kerja kebajikan PAS perlu dilihat untuk kebaikan parti serta Islam itu sendiri.