Home Berita PAS Terengganu

Perkasa Komunikasi Parti Secara Sistematik

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – PAS Terengganu terus menggempur medan penerangan dengan pendekatan yang lebih tersusun dan profesional, dalam usaha memperkukuh sistem komunikasi parti agar mesej perjuangan Islam sampai tepat, jelas dan berkesan kepada seluruh lapisan masyarakat.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Ustaz Harun Isa, berkata, semua peringkat termasuk Lajnah Penerangan dan Media Baru kawasan perlu memperkukuh kerjasama dengan sayap Muslimat bagi memastikan setiap mesej disampaikan dengan bahasa dan pendekatan yang dekat dengan kelompok sasar, khususnya Muslimat muda.

“Mesej dari Muslimat Muda perlu datang dari kaum hawa kerana hanya sesama mereka yang memahami bahasa dan kehendak sendiri,” ujar beliau dalam Taujihat Ketua Penerangan PAS Terengganu yang diadakan di sini, Rabu lalu.

Ustaz Harun turut menegaskan bahawa suara rasmi parti perlu lahir daripada saluran penerangan yang berdisiplin dan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) dan aliran kerja yang telah ditetapkan.

Beliau mengingatkan agar setiap tenaga penerangan tidak “menarik brek tangan di tengah jalan” kerana tindakan itu boleh menggagalkan misi penyebaran maklumat parti.

Justeru itu, beliau menggesa agar tenaga sebaran dipilih berdasarkan kefahaman fikrah dan kemahiran asas media, bukan sekadar semangat semata-mata.

Katanya, majoriti tenaga Muslimat kini mampu melaksanakan tugasan dari rumah melalui telefon pintar, justeru sistem penyebaran perlu lebih efisien dan tersusun.

“Bila buat kerja penerangan, jangan puas hati peringkat dalaman. Matlamat kita keluar sasaran,” tambahnya lagi.