Home Berita PAS Terengganu

Perkasa Dakwah Belia, Fokus Bina Generasi Ummah Masa Depan

4
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) terus memantapkan gelombang dakwah di seluruh daerah dan DUN, dengan memberi fokus kepada belia sebagai generasi pelapis ummah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, menjelaskan bahawa usaha dakwah ini bukan sekadar untuk menambah ilmu, tetapi memastikan akidah, syariah dan akhlak anak muda benar-benar dihayati, dihidupkan dan diamalkan dalam rutin seharian.

“Antara program utama yang dijalankan termasuk tadarus dan kuliah agama, kelas fardhu ain, kem ibadah solat, sukarelawan masjid, tahsin al-Quran, sukan dan riadah, serta gotong-royong dan program motivasi.

“Melalui inisiatif Belia Cintakan Masjid, JHEAT berusaha menarik minat anak muda untuk bersama masyarakat dalam aktiviti pengimarahan rumah Allah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan pada Persidangan DUN Terengganu, pada semalam.

Selain itu katanya, JHEAT juga memberi penerangan fokus kepada golongan belia berkaitan kesalahan jenayah syariah.

Ujar beliau, Program ‘road show’ di semua daerah telah dilaksanakan bagi memberi kefahaman berkaitan kesalahan jenayah syariah.

“lni merupakan salah satu gerak kerja dakwah untuk memberi kesedaran awal kepada mereka agar menjauhi perkara-perkara yang boleh terjerumus kepada maksiat dan kesalahan,” ujarnya.

Tambahnya, JHEAT turut menggunakan medium moden seperti video pendek di pawagam bagi menyampaikan mesej dakwah yang lebih dekat dengan dunia belia masa kini.

“la sebahagian daripada kempen mendidik masyarakat terutama golongan belia untuk dekatkan diri dengan kesalahan jenayah syariah di terengganu.

“Bagi melahirkan generasi berilmu dan berakhlak, JHEAT turut menganjurkan kursus pra perkahwinan bagi pasangan muda serta memperkenalkan kelas pengajian SPAIT (Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu) untuk belia berusia 25 tahun ke atas,” katanya.

Oleh itu jelasnya, SPAIT menjadi platform yang terbaik untuk belia di Terengganu bagi mengisi kerohanian dan meningkat ilmu yang berkaitan aqidah, feqah dan tasawuf.

Ujarnya, sehingga kini terdapat 47 buah kelas di masjid-masjid di Terengganu yang sebahagian besarnya juga melibatkan golongan belia.

Menurut Dr. Khalil, pendekatan dakwah melalui pendidikan, media dan pengimarahan masjid ini menjadi teras kepada pembinaan jati diri belia Islam yang berdisiplin, bermoral dan mampu menjadi contoh kepada masyarakat.