Home Berita PAS Pulau Pinang

Perjanjian Statut Rom; Apa Implikasinya?

2190
SHARE

OLEH : UMMU AL-FATEH

KEPALA BATAS : Ramai yang belum memahami implikasi perjanjian Statut Rom kepada negara kita khususnya kepada umat Islam.

Memandangkan kepentingan isu ini diketengahkan kepada masyarakat, PAS cawangan Taman Bertam Indah mengambil inisiatif menjemput Ustaz Ahmad Jailani Abdul Ghani (AJK LUHAM) untuk memberi penjelasan tentangnya pada 19 Mac yang lalu.

Bertempat di Dewan Seminar Masjid Taqwa Ustaz Jailani mengajak umat Islam terus menggerakkan kempen penerangan secara besar-besaran ke seluruh negara kerana ia adalah benteng terakhir umat Islam menyatakan penolakan Statut Rom dari diamalkan di Malaysia.

Beliau mengajak rakyat meneliti akan sebab banyak negara lain seperti Amerika, Israel, Iraq, Qatar, China, Afrika Selatan, Filipina, Rusia dan lain-lain yang telah menandatangani Statut Rom tetapi kemudian tidak menerimanya untuk diamalkan di negara mereka.

“Sebenarnya dengan menerima perjanjian Statut Rom ini, ia menyebabkan pihak mahkamah antarabangsa akan campur tangan dalam urusan perundangan negara.

“Ini akan membawa kepada implikasi undang-undang Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) wajib digunakan sepenuhnya di negara kita tanpa sebarang pengecualian,” ujar beliau.

Menurut Ustaz Jailani, pentafsiran undang-undang antarabangsa adalah berbeza dengan pentafsiran di negara kita dan ini akan menimbulkan masalah yang besar.

“Misalnya di negara kita syiah dianggap sebagai ajaran sesat, namun dengan pentafsiran antarabangsa, syiah mahupun lain-lain ajaran sesat adalah dibenarkan kerana ia lambang kebebasan pemikiran dan kebebasan beragama yang diperjuangkan.

“Menurut pentafsiran antarabangsa juga, LGBT akan mendapat hak yang mereka tuntut hingga ke tahap memungkinkan mahkamah antarabangsa mengeluarkan perintah masjid menerima Imam dari kalangan LGBT sebagaimana gereja barat diperintahkan menerima LGBT sebagai paderi,” kata beliau menerangkan kemungkinan yang berlaku.

Justeru menurut Ustaz Jailani lagi, bagaimana mungkin kita mendaulatkan perundangan Islam jika membiarkan negara kita menerima perjanjian Statut Rom.

Beliau turut meminta semua NGO serta semua umat Islam tanpa mengira apa jua latar belakang politik bersatu menunjukkan penentangan terhadap penerimaan Statut Rom.

“Memang tidak dinafikan terdapat kebaikan perlaksanaan Statut Rom namun kemudaratannya adalah lebih besar terhadap umat Islam,” jelas beliau mengakhiri ucapannya.