Home Minda Presiden

Peristiwa Ahzab Yang Berterusan

454 views
SHARE

Minda Presiden PAS
PERISTIWA AHZAB YANG BERTERUSAN


Bulan Syawal tahun kelima Hijrah bersamaan bulan Mac tahun 627 Masihi, berlakunya peristiwa yang dikenali dengan Ahzab, bermaksud pakatan yang menggabungkan kaum-kaum musuh Islam, daripada ahli Kitab Yahudi Bani Al-Nadir dan Bani Quraizah, bersama kabilah-kabilah Musyrikin Makkah dan lain-lain. Apabila dua puak Yahudi tersebut mengkhianati tahalluf (persefahaman) yang dimeteraikan  dengan negara Islam Madinah. Para pemimpin dan ketua agama Yahudi itu mengajak kaum Musyrikin Quraisy di Makkah mengumpulkan kabilah-kabilah yang lain bergabung dalam pakatan yang dinamakan Ahzab bagi menghapuskan Islam dengan menyerang Madinah.

Jumlah mereka dianggarkan sepuluh ribu anggota tentera yang lengkap bersenjata dan kenderaan di zamannya, dibandingkan dengan jumlah seluruh penduduk Islam  Madinah yang masih sedikit, walaupun dicampur semuanya termasuk orang tua, kaum wanita, kanak-kanak dan yang cacat tidak berupaya.

Para pemimpin Yahudi dan ketua agama mereka yang diperkenalkan oleh Al-Quran dengan gelaran المغضوب عليهم (kumpulan yang paling dimurkai Allah), kerana mereka adalah ahli Kitab yang paling mengetahui berkenaan kedatangan Nabi akhir zaman Muhammad S.A.W yang disebut di dalam kitab suci mereka dan diberitahu oleh para nabi dan para ulama di kalangan mereka yang mewarisi ilmu para anbia. Bahkan tujuan mereka bermukim di Madinah kerana menunggu kelahiran Nabi akhir zaman itu. Namun semangat perkauman Yahudi menolak petunjuk Allah S.W.T.

Para pemimpin Yahudi dan para ulama yang jahat itu mengapikan semangat menentang Islam kepada kaum musyrikin yang jahil. Firman Allah mendedahkan pakatan mereka:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ أُوتُوا نَصِيبًا مِّنَ الْكِتَابِ يُؤْمِنُونَ بِالْجِبْتِ وَالطَّاغُوتِ وَيَقُولُونَ لِلَّذِينَ كَفَرُوا هَٰؤُلَاءِ أَهْدَىٰ مِنَ الَّذِينَ آمَنُوا سَبِيلًا  (51) أُولَٰئِكَ الَّذِينَ لَعَنَهُمُ اللَّهُ وَمَن يَلْعَنِ اللَّهُ فَلَن تَجِدَ لَهُ نَصِيرًا (52) [النساء: 51-52[

“Tidakkah Engkau perhatikan (dan merasa pelik Wahai Muhammad S.A.W.) kepada orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab (Taurat)? Mereka percaya kepada benda-benda yang disembah yang lain dari Allah, dan kepada Taghut (pelampau), dan mereka pula berkata kepada orang-orang kafir (kaum musyrikin di Makkah):Bahawa mereka (kaum musyrik itu) lebih betul jalan agamanya daripada orang-orang yang beriman (kepada Nabi Muhammad S.A.W.) (51). (Kaum Yahudi yang demikian sikapnya), mereka itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah; dan sesiapa yang dilaknat oleh Allah, maka Engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolongnya).” (52). (Surah An-Nisa’: 51-52)

Peristiwa yang menguji keimanan penganut Islam kepada Allah dan Rasul-Nya, dengan janji kemenangan dunia dan akhirat kalau beristiqamah bersama Islam. Firman Allah:

إِذْ جَاءُوكُم مِّن فَوْقِكُمْ وَمِنْ أَسْفَلَ مِنكُمْ وَإِذْ زَاغَتِ الْأَبْصَارُ وَبَلَغَتِ الْقُلُوبُ الْحَنَاجِرَ وَتَظُنُّونَ بِاللَّهِ الظُّنُونَا (10) هُنَالِكَ ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُونَ وَزُلْزِلُوا زِلْزَالًا شَدِيدًا (11) وَإِذْ يَقُولُ الْمُنَافِقُونَ وَالَّذِينَ فِي قُلُوبِهِم مَّرَضٌ مَّا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ إِلَّا غُرُورًا(12)    [الأحزاب: 10-12[

“Masa itu, apabila  tentera musuh (Ahzab) datang melanggar kamu dari sebelah atas dan dari sebelah bawah (hulu dan hilir kota Madinah) di tempat kamu berada; dan di masa itu pemandangan mata kamu terbeliak tidak berketentuan arah (kerana gempar dan terkejut dengan kedatangan musuh yang ramai jumlahnya) serta hati-hati kamu pun resah gelisah seolah-olah melonjak kerongkong (kerana cemas takut), dan ada kalangan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan yang salah (10). Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat (11). Dan lagi di masa itu orang-orang munafik dan orang-orang yang hati mereka berpenyakit (keraguan  terhadap Islam) dan lemah iman dalam hatinya berkata: “Allah dan Rasul-Nya tidaklah menjanjikan (dengan kemenangan Islam) kepada kita melainkan bertujuan memperdayakan sahaja)” (12). (Surah Al-Ahzab: 10-12)

Namun masih tetap ada orang-orang yang teguh imannya yang dinyatakan oleh firman Allah:

وَلَمَّا رَأَى الْمُؤْمِنُونَ الْأَحْزَابَ قَالُوا هَٰذَا مَا وَعَدَنَا اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَصَدَقَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَمَا زَادَهُمْ إِلَّا إِيمَانًا وَتَسْلِيمًا (22)  مِنَ الْمُؤْمِنِينَ رِجَالٌ صَدَقُوا مَا عَاهَدُوا اللَّهَ عَلَيْهِ  فَمِنْهُم مَّن قَضَىٰ نَحْبَهُ وَمِنْهُم مَّن يَنتَظِرُ وَمَا بَدَّلُوا تَبْدِيلًا (23( [الأحزاب: 22-23 [

“Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:” Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada Kami dan benarlah (Apa Yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya”. dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat (dengan ikhlas) kepada Allah (22). Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang menegakkan Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran (bersedia untuk mati); dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikit pun) (23).” (Surah Al-Ahzab: 22-23)

Di saat yang mencemaskan ini, Rasulullah S.A.W membuktikan kebijaksanaannya yang luar biasa, bermesyuarat dengan para sahabat R.A bagi mengatur langkah dan strategi menghadapi musuh yang besarnya berlipat kali ganda itu. Akhirnya dilaksanakan cadangan sahabat yang berasal daripada Parsi, (Salman Al-Farisi R.A.) yang berpengalaman di negara Parsi yang pernah menghadapi peperangan yang besar dengan cara menggali parit dijadikan kubu pertahanan, cara yang belum diketahui oleh orang Arab. Cara yang dapat dilaksanakan dengan cepat secara bergotong royong dibahagikan mengikut pasukan penggali yang diatur, sehingga dapat disiapkan sebelum kedatangan musuh. Berakhir dengan kekalahan tentera Ahzab dan mereka gagal menghapuskan Islam dengan pertolongan Allah dan strategi yang berjaya.

Allah telah mengabadikan peristiwa ini di dalam Al-Quran yang diwahyukan dengan surah yang dinamakan Al-Ahzab. Menunjukkan pentingnya peristiwa ini menjadi pengajaran kepada umat Islam di sepanjang zaman. Tepat dengan peranan Al-Quran adalah hidayah bermukjizat yang kekal, bukan sekadar cerita dan laporan biasa.

Allah menyatakan bahawa musuh Islam sentiasa ada dan berterusan memusuhi Islam dan pendukungnya di sepanjang zaman di mana sahaja. Firman Allah:

وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا  [البقرة: 217[

“Mereka (orang-orang kafir yang bermusuh itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (dapat) memurtadkan kamu dari agama kamu kalau mereka boleh (melakukan yang demikian)…(217).” (Surah Al-Baqarah: 217)

Selepas  kewafatan Rasulullah S.A.W, negara Islam dikepung oleh orang-orang Arab yang murtad, pengikut nabi-nabi palsu dan bohong dan kalangan yang kembali semula kepada jahiliah. Disertakan dua kuasa besar dunia Parsi di Timur dan Rom di Barat. Namun semuanya dapat dikalahkan di zaman Khulafa’ Rasyidin dan Islam terus berkembang di seluruh pelusuk dunia.

Bala tentera Ahzab terus mengepung umat Islam di sepanjang zaman. Kita telah menyaksikan pula dengan nyata sejarah zaman penjajahan, apabila mereka yang datang daripada berbagai negara dan berbagai agama dan ideologi itu bersatu menyerang dan menjajah tanah air umat Islam di zaman penganut Islam mengalami kelemahan, sehingga dunia Islam dapat dipecah dan dibahagikan sesama mereka, mengikut peta yang dilakar oleh mereka dan perpecahan dengan semangat nasionalisme jahiliah di kalangan umat Islam yang lemah pegangan Islamnya.

Bukan sahaja musuh itu merampas tanah air dan hasil  bumi Islam dan memperhambakan rakyatnya, mereka juga merancang berbagai-bagai cara, bukan sahaja peperangan  bersenjata, ditambah dengan memerangi pemikiran, kefahaman  dan budaya, supaya memurtadkan penganut Islam dengan berbagai-bagai cara, sehinggalah sekurang-kurangnya meninggalkan ajaran Islam sedikit demi sedikit, apabila dirancang terhadap umat Islam dengan agenda menyebarkan kejahilan terhadap agamanya sendiri dan dimasukkan kefahaman asing melalui pendidikan, media dan pentadbiran, disertakan serangan politik, ekonomi dan sosial.

Walaupun negeri-negeri umat Islam terpaksa diberi kemerdekaan pada akhirnya, namun kesan daripada serangan pemikiran terus berlaku supaya umat ini meninggalkan Islam atau melemahkan pegangan terhadap ajaran Islam. Sehingga terpengaruh dengan ideologi dan teori yang dibawa oleh penjajah itu. Menjadikan pengaruhnya tidak diputuskan, walaupun penjajah itu keluar pada zahirnya tetapi pengaruhnya terus bertapak. Pendekatannya supaya membolehkan mereka terus menjajah atau kembali menjajah semula bila-bila masa, melalui campur tangan secara langsung atau tidak langsung.

Kemerdekaan yang diatur penyerahannya di tangan kalangan umat Islam sendiri, daripada mereka yang dibentuk pemikirannya yang jahil Islam dan terpengaruh dengan kuasa penjajahan yang memberi tempat mewarisi pemerintahan mengikut acuannya. Seterusnya menjadi penghalang sebarang usaha kembali semula kepada ajaran Islam yang sebenar.

Ada negara umat Islam yang dikatakan merdeka itu, mengizinkan pangkalan tentera penjajah asing itu terus bertapak dengan kukuh, bagi melindungi kepentingan musuh Islam dengan berbagai-bagai alasan. Sehingga ada pula negara umat Islam yang mengiktiraf negara haram Israel yang merompak bumi Palestin. Sehinggalah ada negara umat Islam menjadi wakil untuk berperang bagi pihak musuh membunuh saudaranya sendiri.

Kita menyaksikan campur tangan secara langsung negara besar Timur dan Barat melalui tentera, politik dan ekonomi ke dalam tanah air Islam dan mengganggu umatnya dengan berbagai cara.

Walaupun begitu perancangannya, terbukti mereka gagal memadamkan cahaya Islam yang terus bersinar menembusi segala sekatan, sehingga Islam terus berkembang dengan pesat, termasuk ke dalam negara yang menjajahnya dahulu, laksana mengulangi sejarah Firaun yang menghalang kelahiran Nabi Musa A.S, tiba-tiba Musa dibesarkan di dalam mahligainya.

Kini, kesedaran dan  kebangkitan Islam berlaku bukan sahaja kalangan mereka yang bertahan di masjid dan institusi pengajian Islam sahaja, bahkan marak di kalangan mereka yang diasuh atau ditarbiah oleh penjajah itu, apabila mereka menyaksikan kemusnahan manusia yang menganut berbagai agama dan ideologi yang lain daripada Islam, menjadikan mereka kembali ke pangkal jalannya yang sebenar, iaitu Islam. Benarlah firman Allah:

وَقَدْ مَكَرُوا مَكْرَهُمْ وَعِندَ اللَّهِ مَكْرُهُمْ وَإِن كَانَ مَكْرُهُمْ لِتَزُولَ مِنْهُ الْجِبَالُ (46) فَلَا تَحْسَبَنَّ اللَّهَ مُخْلِفَ وَعْدِهِ رُسُلَهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ ذُو انتِقَامٍ (47) [إبراهيم: 46-47 [

“Dan sesungguhnya mereka telah menjalankan rancangan jahat  (untuk menentang Islam), sedang di sisi Allah ada balasan bagi (mengalahkan) rancangan jahat mereka, walaupun rancangan jahat mereka itu, dapat meruntuhkan bukit bukau dan gunung-ganang sekalipun (46). Oleh itu, janganlah Engkau menyangka Allah memungkiri janjinya kepada Rasul-Nya; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi sedia membalas (orang-orang yang menderhaka kepadanya) (47).” (Surah Ibrahim: 46-47)

Kini pula, mereka berjaya mencipta apa yang dinamakan keganasan dengan bantuan mereka bagi mengacau kebangkitan Islam yang menyelamatkan manusia, diubah menjadi makhluk perosak dalam diri umat Islam dan mencalarkan imej Islam yang menjadi rahmat dan adil terhadap semua. Dilakukan melalui kemajuan teknologi ketenteraan dan media tanpa sempadan yang mereka kuasai. Terdapat kalangan umat Islam yang bersemangat tanpa ilmu secara tafaqquh fi Al-Din (kefahaman dalam agama) dipergunakan dengan mudah, bertujuan mencelarukan kebangkitan Islam yang sedang berlaku.

Umat Islam laksana diratah dan dimakan oleh peperangan yang dirancang begitu rupa, sehingga membunuh saudara sendiri dengan senjata yang dibekalkan oleh musuh dengan belanja umat Islam yang dibodohkan. Pemikirannya pula dicelarukan oleh media baru meredah sempadan sehingga sesat meninggalkan petunjuk Allah.

Percayalah bahawa bala tentera Ahzab terkini juga menerima nasib dimusnahkan seperti  juga Ahzab terdahulu mengikut janji Allah.

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ (8)

 “Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah Al-Soff: 8)

Terus beristiqamah bersama Islam.


“Sejahtera Bersama Islam”


ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 19 Syawal 1439 / 3 Julai 2018