Home Catatan Ramadhan

Peringatan Badar al-Kubro (Siri 1)

749
SHARE

Peringatan Badar al-Kubro (Siri 1)

PERANG bukanlah perkara yang asing bagi bangsa Arab. Mereka berperang sekalipun atas perkara yang kecil demi menjaga nama baik dan kepentingan kabilah masing-masing. Namun kebiasaan ini jelas semakin pudar dengan zahirnya Islam sebagai agama yang bernegara sehingga keyakinan di dalam hati dan kefahaman kebenaran Islam dipertahankan melalui kekuatan politik dan senjata.

Pengikut Baginda di Makkah telah menunjukkan keutuhan tahan diuji apabila sanggup meninggalkan kampung halaman, rumah yang selesa, kaum kerabat yang dikasihi untuk bersama dengan Baginda dalam Hijrah ke Madinah, satu tempat dengan perjalanan yang sangat jauh merentas padang pasir sekitar 400 km untuk bersama dengan mereka yang tidak dikenali tetapi memiliki keyakinan yang sama.

Ujian keyakinan mereka berterusan dengan arahan berperang yang tentunya menagih pengorbanan nyawa, jiwa dan raga. Pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah meletuslah peperangan pertama yang dihadiri oleh Rasulullah S.A.W selepas terbentuknya negara Islam Madinah.

Beberapa peringatan yang boleh diambil dari peperangan ini ialah:

Pertama: Rahmat kepada kaum Muslimin

Asalnya golongan Muslimin itu keluar bukan dengan niat berperang. Berita mengenai kafilah pedagang perniagaan Quraisy dari negeri Syam yang diketuai oleh Abu Sufyan Bin Harb ingin pulang ke Makkah dan melalui pesisiran Kota Madinah sampai ke Madinah. Baginda mengarahkan kaum Muslimin agar merampas harta dagangan tersebut sebagai ganti harta mereka yang ditinggalkan di Makkah dan telah dirampas oleh puak Quraisy Makkah. Namun Allah telah menggantikan tujuan kebendaan itu dengan yang lebih mulia iaitu arahan berperang menegakkan agama Allah.

Kedua: Mengutamakan kepentingan Allah lebih dari diri sendiri

Dengan prasarana perang yang sangat minima, 313 orang dan 70 ekor unta yang dinaiki secara bergilir bukanlah pilihan yang menggembirakan untuk berhadapan tentera dari Makkah seramai seribu orang siap berperisai dengan membawa 700 ratus unta. Namun apabila arahan yang diterima adalah daripada Allah melalui perantaraan RasulNya ianya menjadi mudah apabila ia disulami dengan kecintaan dan keyakinan mereka dengan apa yang dijanjikan di sisi Allah.

Ketiga: Budaya berbincang dan meminta pandangan

Baginda mengetahui perihal Abu Sufyan telah melalui jalan pantai ke Makkah di mana mata air Badar sudah terlepas di sebelah kiri iaitu menandakan bahawa Abu Sufyan telah berjaya menyelamatkan semua kafilahnya serta barang perniagaannya. Dalam waktu yang sama sampai berita kepada Baginda mengenai keberangkatan tentera Quraisy untuk mempertahankan kafilah dagangan tersebut. Baginda lalu bermesyuarat dan meminta pendapat daripada semua Sahabat-sahabatnya sama ada berpatah balik ke Madinah atau bertempur dengan bala tentera Quraisy. Di sini kita melihat Nabi S.A.W sebagai sebaik-baik manusia utusan Allah boleh sahaja membuat keputusan dalam saat genting seperti itu. Namun, Baginda telah menunjukkan contoh teladan menunjukkan bahawa budaya bermesyuarat dan minta pandangan perlu diamalkan dalam setiap urusan yang tidak memiliki nas yang khusus bagi mendapatkan keputusan yang terbaik dan penuh keberkatan.

Keempat: Ketaatan terhadap pemimpin

Apabila dilihat pada umur negara Islam Madinah yang baru menginjak ke tahun kedua, tentu ada pergolakan dalaman negara yang perlu diambil perhatian dan kekuatan tentera yang tidak seberapa. Jika diukur dengan logik akal manusia yang cetek tentulah keputusan untuk berperang seperti meletakkan leher di pedang musuh. Protes mudah sahaja terjadi di kalangan pengikut Baginda. Namun pengikut yang telah dicanai hati mereka dengan kecintaan kepada Allah dan RasulNya menyebabkan perkara demikian tidak berlaku.

Kaum Muhajirin memberi pandangan untuk terlibat dalam peperangan itu manakala ketua kaum Ansar pula iaitu Saad Bin Muaz berkata kepada Baginda:

“Sesungguhnya Kami telah beriman dan percaya kepada engkau dan kami mengaku segala apa yang dibawa oleh kau itu benar wahai Rasulullah. Kami juga telah memberi sepenuh kepercayaan dan mengikat janji akan patuh dan taat kepadamu maka teruslah mengikut kehendakmu dan kami pasti bersama-sama denganmu. Demi dialah yang mengutuskanmu dengan benar jika kau mengharungi lautan maka kami akan bersama-sama mengharungi lautan juga.”

Apabila mendengarkan perkataan itu maka rianglah hati Baginda sambil Baginda berkata:

“Maralah dan gembiralah, sesungguhnya Allah telah memberi janji-Nya akan kejayaan kepada salah satu kumpulan. Demi Allah seolah-olah aku sedang melihat ketewasan kaum Kafirin.”

Kelima: Keyakinan kebenaran mestilah mengatasi kebatilan

Abu Sufyan sebagai Ketua Kafilah meminta pihak kafir Quraisy agar berundur diri kerana mereka telah selamat daripada serta dapat menyelamatkan diri daripada orang Islam tetapi Abu Jahal tidak mahu sebaliknya Abu Jahal berkata dengan tegasnya kepada tentera kaum Quraisy bahawa demi Tuhan, kita tidak akan pulang kecuali setelah sampai di Badar dan akan tinggal di sana selama tiga hari. Kita juga akan berpesta, membuat jamuan besar-besaran, meminum arak, dan menghiburkan diri dengan pancaragam. Semoga seluruh bangsa Arab mendengar berita dan demonstrasi angkatan kita, di mana gema kegerunan akan berdentum sepanjang masa.

Mereka berkeyakinan untuk menang dengan segala kelengkapan yang mereka dimiliki sedangkan kaum Muslimin walau sudah memaksima persiapan namun jelas kekurangannya dengan musuh. Namun, pergantungan mereka kepada Allah Yang Maha Kuat sumber segala kekuatan sahaja yang menyebabkan mereka terus mara ke medan perang.

Keenam: Mencari sebab ke arah kejayaan dan bersedia menerima kekalahan

Kemudian, Rasulullah S.A.W berjalan dan mengambil tempat sehingga ke perigi Badar yang paling hampir manakala pihak Quraisy mengambil tempat yang jauh dari perlembahan mata air. Dan ketika itu Habib bin Munzir bertanya;

“Wahai Rasulullah, adakah tempat ini ditetapkan oleh Allah dan kita tidak boleh berpindah lagi ke depan atau ke belakang? Atau ia hanyalah strategi peperangan atau tipu helah semata-mata.”

Baginda menjawab:

“Ia hanyalah strategi perang dan tipu helah sahaja.”

Maka Habib bin Munzir mencadangkan agar berpindah ke tempat yang lebih strategik dan membolehkan orang Islam menyekat air Badar sampai kepada orang Musyrik. Kita mengambilnya dahulu kemudian kita musnahkan telaga-telaga selepasnya dan telaga kita ini diperluaskan dan dibina serta dipenuhkan dengan air sepenuhnya maka apabila berlakunya peperangan maka kita tidak akan kehausan sebaliknya pihak Quraisy yang akan kehausan.

Saad bin Muaz pula mencadangkan agar dibina sebuah khemah atau perteduhan untuk Baginda di belakang barisan tentera Islam. Sekiranya mereka menang pasti mereka bersyukur dan jika mereka tewas maka Baginda boleh menaiki tunggangannya dan Baginda akan kembali menemui mereka di Madinah yang tidak turut serta dalam peperangan serta mereka tidak akan lemah semangat. Saad Bin Muaz berkata kepada Baginda:

“Sebahagian orang Islam tidak hadir bersama kita, wahai Nabi Allah. Ini bukanlah bererti cinta kami terhadapmu lebih hebat berbanding mereka di Madinah. Jika mereka tahu kamu akan berperang, nescaya mereka tidak tercicir untuk turut serta bersamamu.”

Rasulullah S.A.W mendoakan kebaikan untuk Saad Bin Muaz.

Nusaibah Kaab dan Haslinda Ismail

Bingkisan Artikel Ramadan

Lajnah ‘Alimat Dan Pembangunan Keluarga,

Dewan Ulamak PAS Pusat (LAPK DUPP).