Home Berita PAS Perak

Perikatan Nasional Perak anjur rumah terbuka Aidilfitri Jumaat ini di Tapah

267
SHARE

TAPAH, 9 April 2025 – Perikatan Nasional (PN) Negeri Perak akan menganjurkan Majlis Jamuan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri pada Jumaat, 11 April 2025, bertempat di Padang Awam Tapah, Tapah Road, bermula jam 8.00 malam hingga 11.00 malam.

Program tahunan ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim sesama masyarakat sempena sambutan Aidilfitri, selain menjadi platform untuk mendekatkan pimpinan Perikatan Nasional dengan rakyat.

Pengerusi PN Tapah, Ustaz Abd Muhaimin bin Malek, dalam kenyataannya memaklumkan bahawa majlis ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang politik atau kaum.

“Kami menjemput seluruh warga Tapah dan kawasan sekitar untuk hadir bersama memeriahkan sambutan Aidilfitri ini dalam suasana penuh muhibah dan kekeluargaan,” katanya.

Antara pengisian majlis termasuk ucapan pemimpin utama PN, jamuan makan dan sesi ramah mesra bersama masyarakat.

Pelbagai juadah istimewa disediakan untuk para tetamu, termasuk nasi gulai kawah, satay ayam, lemang & rendang, bihun sup, laksa, mee & kuey teow goreng, nasi impit & kuah kacang, apam balik, cendol & ais krim, cucur udang, teh tarik dan sirap.

Majlis ini turut dijangka dihadiri oleh barisan kepimpinan tertinggi Perikatan Nasional Negeri Perak serta wakil-wakil rakyat setempat.

Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bersama keluarga bagi memeriahkan majlis dan menghayati semangat Aidilfitri sebagai hari kemenangan dan penyatuan ummah.