Home Berita PAS Terengganu

Perhilitan Tangkap, Pindah Gajah Liar Ceroboh Taman Pertanian Sekayu

5
SHARE

HULU TERENGGANU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap seekor gajah liar jantan yang berkeliaran di sekitar Kampung Sekayu, di sini, pada Ahad lalu.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Terengganu (PKGT) Sungai Deka, Mohd Happy Mohd Noor, berkata operasi penangkapan itu dijalankan susulan aduan daripada Taman Pertanian Sekayu yang bimbang dengan kehadiran mamalia berkenaan yang dipercayai keluar dari habitat asalnya di kawasan hutan berhampiran.

“Seramai 19 anggota Perhilitan terlibat dalam operasi ini yang dijalankan selama lima hari berturut-turut.

“Hasil pemantauan dan kawalan yang dilaksanakan, kami berjaya menangkap seekor gajah jantan dewasa berusia kira-kira 12 tahun dan seberat kira-kira dua tan.

“Gajah ini dipercayai sebahagian daripada kumpulan gajah yang semakin kerap memasuki kawasan perkampungan dalam usaha mencari makanan,”  berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Menurut Mohd Happy , pihaknya akan segera memindahkan gajah berkenaan ke habitat yang lebih selamat bagi mengelakkan konflik dengan manusia.

Tambahnya, operasi pemindahan dijangka dilakukan dalam masa terdekat dengan bantuan pasukan khas daripada Pusat Konservasi Gajah Terengganu.

Beliau turut menasihatkan penduduk agar tidak bertindak sendiri atau melakukan provokasi terhadap haiwan liar tersebut kerana ia boleh menjadi agresif dan berbahaya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk segera melaporkan kepada pihak Perhilitan sekiranya terserempak dengan gajah liar supaya tindakan sewajarnya dapat diambil,” tambahnya.

Pihak Perhilitan juga akan terus melakukan pemantauan dan kawalan di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk serta harta benda dan kelestarian hidupan liar di negeri ini terjamin.