Home Kenyataan Media PAS Wilayah

PERDANA MENTERI & MENTERI AGAMA, TOLONG TUNJUKKAN MAKNA ‘MADANI’ YANG SEBENAR

129
SHARE

1- Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) merasa kesal sekali lagi apabila dikejutkan dengan sebuah konsert anjuran KFC Malaysia sempena 50 tahun keberadaan KFC di Malaysia. Konsert yang dinamakan ‘KEPCI MUSIC FEST’ itu telah berlangsung pada 26 Ogos 2023 di Stadium Tertutup Melawati, Selangor untuk pusingan pertamanya sebelum berada di Sabah pada 6 Oktober dan Johor pada 21 Oktober 2023.

2- Lebih malang lagi, konsert ini turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya, Wan Azizah dan Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil. Kehadiran para pemimpin utama kerajaan Malaysia ini memberikan suatu tamparan buat seluruh umat Islam yang menjunjung tinggi nilai-nilai Islam yang bertentangan dengan penganjuran konsert tersebut.

3- Perkara yang menyedihkan bagi seluruh umat Islam adalah acara konsert itu juga melibatkan sekumpulan pelajar tahfiz yang lengkap berjubah dan berserban dilihat turut duduk di atas kerusi penonton sambil disajikan dengan nyanyian dan gelekan daripada kumpulan wanita Coex. Kehadiran mereka ke konsert itu telah meranapkan seluruh harapan ibu bapa dan guru yang mendidik mereka supaya menjadi umat Islam yang mengamalkan tatakelola Islam dengan baik.

4- Sebenarnya kami selaku rakyat Malaysia yang mempunyai tatakelola yang baik ingin bertanya kepada Perdana Menteri, apakah sebenarnya pengisian Malaysia Madani yang ingin dibawa oleh beliau? Adakah konsert yang menghimpunkan para lelaki dan wanita di dalam tempat yang gelap seperti itu, sambil para penontonnya disajikan dengan nyanyian dan gelekan seksual itu merupakan pengisian utama Malaysia Madani? Sehinggakan PM dan Menteri Komunikasi turut terhegeh-hegeh untuk menyertainya?

5- Barangkali, PM perlu mencerakinkan kepada kami pengisian Malaysia Madani tersebut supaya kami benar-benar jelas dengan agenda PM untuk mempergunakan istilah ‘Madani’ bagi meraih sokongan umat Islam di Malaysia. Istilah tersebut banyak dipopularkan oleh Syed Naquib al-Attas dan murid-muridnya yang disegani dengan keilmuan mereka yang pastinya mereka juga turut melawan budaya konsert maksiat seperti itu.

6- Kita juga ingin bertanya kepada Menteri Hal Ehwal Agama, YB Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im bin Mokhtar yang seakan-akan telah senyap dan hilang daripada radar politik negara ketika konsert seperti ini berlangsung. YB Senator dilihat begitu cergas dan bertenaga sekali ketika mengkritik TV Al-Hijrah yang mengulang siar rakaman program Hijrahkan Laguku hanya kerana kemunculan mantan Menteri Agama, YB Datuk Ustaz Idris Ahmad di dalamnya.

7- Sebaiknya YB Senator menunjukkan kecergasan dan semangat yang sama bahkan lebih baik lagi adalah menjadi lebih bertenaga dan cergas dalam membanteras konsert-konsert seperti ini. YB Senator perlu memanfaatkan agensi-agensi yang berada di bawah kendalian YB Senator supaya acara seperti ini dapat ditangani terlebih dahulu sebelum pengiklanannya dibuat. Malangnya, YB Senator lebih gemar berpolitik ketika masyarakat berada di ambang permasalahan sosial. YB Senator juga boleh menggerakkan ABIM dan IKRAM di dalam membasmi program yang meruntuhkan nilai-nilai Islam tersebut.

8- Akhirnya, kami merakamkan kekecewaan di atas sikap tidak konsisten Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri. Beliau dilihat terlalu pragmatik dan liberal dengan memanfaatkan semua perkara di sisi beliau dengan mengenepikan soal moral dan sosial masyarakat umat Islam. Ketika berkempen di dalam PRN 6 negeri, beliau turun sama menziarahi agamawan di Kelantan antaranya Ustaz Muhaizad. Namun, di sisi lain beliau boleh pula turun sama ke konsert-konsert seperti ini.

9- Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) berharap kerajaan Malaysia Madani benar-benar merealisasikan makna dari istilah ‘Madani’ tersebut bukan sekadar mempergunakannya untuk mengelabui mata umat Islam di Malaysia dengan menunggang sentimen agama. Kami bukanlah orang yang mudah terpesona dengan istilah-istilah Islamis seperti itu.

Abdul Razak Ramli,
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan