Home Kenyataan Media PAS Wilayah

PERDANA MENTERI BUKAN MELAYU : LIM KIT SIANG BERSIKAP RASIS KETERLALUAN

58
SHARE

PAS Wilayah Persekutuan merasa kesal terhadap sikap dan kenyataan penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang mengenai “Impian Malaysia” yang meraikan kepelbagaian etnik, agama dan budaya serta bukannya membawa impian untuk mana-mana satu etnik saja. Beliau turut menyatakan Perlembagaan Persekutuan tidak menyekat mana-mana orang bukan Melayu daripada menjadi Perdana Menteri.

Kenyataan beliau yang diucapkan di di Manchester, United Kingdom pada 29 November 2023 lalu di hadapan pelajar Malaysia menggambarkan sikap beliau yang berdendam, dengki dan mempunyai cita-cita peribadi terpendam semenjak lama. Kenyataan Lim memberi konotasi sangat bahaya dan negatif bahawa Perkara 153 dan kewujudan Yang di-Pertuan Agong tidak cukup untuk meraikan kepelbagaian kaum negara ini lantas memerlukan gagasan lain yang kononnya lebih baik seperti “Impian Malaysia”.

Rakyat Malaysia mengetahui Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan kewajipan ke atas Yang di-Pertuan Agong, bukan sahaja untuk menjaga kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri, bahkan kepentingan sah kaum lain sebagai warganegara Malaysia. Lim seolah-olah tidak berpuas hati selagi mana Malaysia terus dipimpin oleh pemimpin Melayu sedangkan sejak kemerdekaan sehingga kini, kepimpinan Melayu sentiasa berusaha mengukuhkan perpaduan nasional dan memajukan sosioekonomi masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.

Faktanya, kepimpinan Melayu juga tidak pernah menyekat peluang pendidikan, kebajikan dan penguasaan ekonomi mana-mana kaum dan realiti hari ini menunjukkan ekonomi dan kekayaan Malaysia masih dikuasai oleh kaum bukan Melayu dan bukannya anak-anak negeri.

Kenyataan Lim Kit Siang di London membuktikan beliau tidak berjiwa patriotik, tiada semangat untuk menjaga perpaduan dan keamanan masyarakat di Malaysia bahkan dianggap mahu memecahbelahkan keamanan dengan mengajak perpecahan dan bibit kebencian kepada masyarakat Malaysia. PAS WP merasa curiga apakah agenda yang mahu dimainkan oleh Lim Kit Siang dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian melainkan ia adalah berasaskan kepada hasutan dan kebencian perkauman yang melampau. Mengapa beliau berani bercakap demikian kepada pelajar Malaysia di luar negara. Apakah beliau mahu masyarakat luar merasa benci dan bersikap prejudis terhadap negara sendiri?

Justeru itu, PAS WP mencabar beliau untuk mengulangi ucapan beliau di dalam negara, dihadapan rakyat dan dalam majlis formal. PAS WP juga mencabar kerajaan Pakatan Harapan khususnya Barisan Nasional untuk menyatakan sikap terhadap kenyataan beliau dan mengambil tindakan paling tegas terhadap Lim Kit Siang sebagaimana yang diambil terhadap pemimpin Perikatan Nasional.

Oleh itu, PAS Wilayah Persekutuan bersetuju denngan tindakan PDRM memanggil Tan Sri Lim Kit Siang bagi mengekang sebarang kenyataan dan tindakan yang menggugat Perkara 153 kerana dikhuatiri boleh membawa kepada ketegangan kaum yang tidak diingini dalam masyakarat. Apa yang diharapkan adalah siasatan dan tindakan tegas terhadap beliau dan mana-mana pemimpin yang mengeluarkan kenyataan jahat berbaur hasutan, kebencian etnik, memainkan kisu sensitif seperti keagamaan dan perkauman melampau.

Mohamad Suhaimi Bin Abdul Aziz
Ketua Penerangan
PAS Wilayah Persekutuan