Home Berita PAS Pahang

Percuma tapi bermakna – Tuisyen Rakyat untuk anak Indera Mahkota

7
SHARE

Oleh : HABSAH ALI

INDERA MAHKOTA, 12 Jun  – Kelas Tuisyen Rakyat Percuma anjuran Ameerah Indera Mahkota dan Dewan Pemuda PAS Indera Mahkota telah bermula secara rasminya di Balok di sini hari ini.

Tiusyen yang melibatkan penyertaan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dari kawasan sekitar sekitar Indera Mahkota telah dilancarkan  oleh Ahli Dewan Negeri Beserah, YB Dato’ Haji Andansura Rabu baru-baru ini.

“Program ini terbuka kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik, sebagai satu usaha murni untuk membantu anak-anak yang memerlukan bimbingan tambahan dalam pelajaran, khususnya dalam menghadapi cabaran akademik masa kini,” kata Andansura Rabu.

Tambahnya, PAS komited untuk membina generasi yang berilmu dan berakhlak mulia,  ini adalah antara ikhtiar untuk memastikan anak-anak tidak ketinggalan dalam pelajaran walaupun berdepan cabaran kehidupan masa kini.

“Saya menyeru ibu bapa, masyarakat dan para pendidik untuk bersama-sama menjayakan program ini. Jangan biarkan anak-anak kita terabai hanya kerana kekangan kewangan. Kita perlu mainkan peranan masing-masing,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Indera Mahkota, Ustaz Hafizudin berkata, kelas tuisyen tersebut diadakan di dua lokasi utama iaitu di DUN Beserah dan DUN Semambu, dengan penyertaan seramai enam orang guru yang berpengalaman iaitu dalam subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Matematik Tambahan dan Pendidikan Islam, diselitkan juga sesi rohani bagi membentuk jati diri dan akhlak para pelajar.

Beliau juga mengharapkan agar kelas tuisyen ini dapat menjadi platform mendekati anak-anak muda dengan pendekatan yang mesra, mendidik dan menyentuh hati mereka.