Home Berita PAS Perlis

Percukupkan Syarat Kemenangan Hadapi PRU14

591
SHARE

KANGAR : Seluruh penggerak dan ahli PAS mesti menyedari bahawa kemenangan dalam perjuangan ini akan menjadi milik mereka apabila sekiranya segala prasyarat kemenangan yang ditetapkan oleh Allah S.W.T. telah dipenuhi.

Demikian ingatan yang disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menyampaikan ucapan sempena Himpunan Fastaqim 2.0 Dan Pelancaran Jentera PRU14 PAS Kawasan Kangar, di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS), baru-baru ini.

Mengambil ibrah daripada Peristiwa Peperangan Ahzab, beliau menjelaskan betapa pasukan tentera Islam pada ketika itu berhadapan dengan serangan daripada segenap sudut.

Meskipun dikepung oleh sejumlah besar tentera musuh, Rasulullah S.A.W. beserta pasukan tenteranya tidak menyerah kalah, sebaliknya menyusun strategi bagi berhadapan dengan musuh di samping memperkuatkan pergantungan mereka kepada Allah S.W.T.

Menurut beliau lagi, keadaan tersebut hampir sama dengan apa yang berlaku pada hari ini di mana PAS sedang diasak di segenap penjuru oleh pelbagai pihak yang menentang Islam.

“Perang badar walaupun hebat, kita tidak diminta untuk mengingatinya dalam sambutan hari raya, (sebaliknya) kita diminta ingat kepada Perang Ahzab.”

“Kenapa Perang Ahzab? Kerana inilah keadaan yang akan dihadapi oleh umat islam di mana seluruh musuh islam menggembleng tenaga memusuhi Islam, sepertimana yang sedang berlaku hari ini.”

“Maka, jangan ada dalam diri kita bila melihat musuh di sekeliling, kita merasa lemah dan menyerah kalah,” ujarnya.