Home Berita PAS Terengganu

Perbanyakkan amalan sunat dalam ibadah solat

47
SHARE

KUALA TERENGGANU – Umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan sunat yang dapat mempergandakan lagi pahala ketika menunaikan ibadah solat.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, banyak amalan sunat yang diajarkan Nabi Muhammad kepada masyarakat Islam.

“Penganjuran program bulan penghayatan ibadah solat bertujuan untuk mendidik masyarakat di negeri ini, dimana bila sebut tentang ibadah solat, biarlah solat kita itu mendapat pahala yang lebih di sisi Allah.

“Dalam ibadah solat banyak amalan-amalan sunat yang diajar kepada kita oleh Rasulullah tetapi ada masyarakat kita memandang ringan bila sebut amalan sunat sedangkan itulah menambah pahala bila kita tunaikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Penghayatan Ibadah Solat (Peringkat Hospital) di Dewan Teater, Wisma Darul Iman, hari ini.

Malah katanya, program tersebut juga mempunyai objektif yang lebih luas dari sudut dakwah, kesedaran, ilmu dan lain-lain.

“Bagi kerajaan negeri kita mengambil bulan Rejab sebagai bulan untuk kita mengadakan  program penghayatan ibadah solat.

“Bertujuan untuk menjadikannya sebagai satu dakwah kepada masyarakat Islam di luar sana supaya mereka lebih menghayati dan medalami ibadah solat ini,” ujarnya.