Home Berita PAS Terengganu

Perantau Semarak Semangat Kemerdekaan di Gelanggang Futsal

4
SHARE

SHAH ALAM – Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-68, semangat patriotisme anak-anak Terengganu di perantauan terserlah apabila mereka berhimpun di UOne Sport Centre, Shah Alam, bagi menyertai Kejohanan Futsal Piala Presiden PERANTAU Terengganu edisi Merdeka 2025.

Sebanyak 16 pasukan bersaing dalam edisi kedua ini, selepas kali pertama dianjurkan di Bangi pada 2017, kejohanan yang berlangsung selama tiga jam itu turut mencerminkan semangat kesatuan dan penghayatan erti kemerdekaan melalui medium sukan.

Presiden PERANTAU, Prof. Madya Dr. Nuri Al-Amin Endut, berkata penghayatan kemerdekaan tidak terhad kepada perarakan atau ceramah, sebaliknya boleh diterjemahkan dalam pelbagai bentuk, termasuk acara santai seperti futsal.

“Merdeka adalah tentang kesatuan. Apabila kita bersukan bersama, kita memupuk disiplin, saling menghormati dan membina jati diri.

“Inilah penghayatan kemerdekaan yang sebenar dalam memastikan rakyat bersatu, berdaya saing dan teguh semangatnya walaupun berada di luar negeri,” katanya.

Nuri berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Beliau turut menegaskan bahawa PERANTAU berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan anak-anak Terengganu dengan budaya asal, masyarakat luar serta kerajaan negeri.

“Ramai anak-anak Terengganu di luar yang memiliki kepakaran dan perspektif luas hasil pengalaman perantauan mereka. Ini adalah aset penting yang boleh membantu memajukan negeri, sama ada dalam bentuk idea, cadangan mahupun jaringan perniagaan.

Pengerusi PERANTAU Lembah Klang, Wan Mohd Ariffudin Wan Omar menambah, kejohanan tersebut adalah hasil kerjasama erat ahli persatuan walaupun dirancang dalam tempoh yang singkat.

“Alhamdulillah, ia berjaya kerana semangat sukarela ahli-ahli kita. Kehadiran anak muda yang bekerja dan mahasiswa yang menyalurkan tenaga sangat membantu PERANTAU melaksanakan program bukan sahaja sukan, tetapi juga kebajikan sepanjang tahun.

“Setiap program yang kita buat sama ada ‘kuca sura’, ‘kuca’ bubur lambuk, ‘Back to School’ atau futsal seperti hari ini, sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada anak-anak Terengganu di Lembah Klang,” jelasnya.