Home Berita PAS Wilayah

Perangi Ideologi Komunis Dan Sosialis Dalam Negara

1601
SHARE

Kenyataan Media
Dewan Ulama’ PAS Wilayah Persekutuan

PERANGI IDEOLOGI KOMUNIS DAN SOSIALIS DALAM NEGARA
(24 Oktober 2019)

1. Dewan Ulama’ PAS Wilayah Persekutuan (DUPWP) menyambut baik tindakan tegas Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mewartakan perintah larangan terhadap komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan – Meraih Manfaat Bersama (BRI)’ mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) kerana ia mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah. Selain itu ia mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

2. DUPWP merasa khuatir dengan anasir yang boleh memudaratkan ketenteraman dan keharmonian negara melalui pengedaran komik seperti ini. Apatah lagi komik ini dipercayai telah diedarkan di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini. Jika KDN tidak bertindak cepat, dibimbangi pemikiran rakyat terutama pelajar sekolah akan diracuni dengan unsur melampau dengan mengagungkan pemikiran komunis yang ditolak dalam negara ini. Selain itu, idelogi komunis dan sosialis adalah bertentangan dengan akidah Islam dan boleh merosakkan kepercayaan umat Islam yang menganutinya.

3. Menyebarkan propaganda berkaitan ideologi komunis adalah tindakan yang sangat berbahaya sebagaimana menyokong kumpulan pengganas seperti Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE). Pengedaran komik ini pasti mempunyai agenda halus dan tersirat terhadap generasi muda. Seolah-olah ada cubaan untuk mengubah fakta sejarah Malaysia serta perjuangan pemimpin terdahulu yang memperjuangkan kemerdekaan negara. Generasi muda mahu difahamkan bahawa perjuangan mempertahankan ideologi dan bersama kumpulan komunis akan dianggap sebagai wira sementara perjuangan menentang mereka dianggap salah dan sebagai pemberontak.

4. Oleh itu, DUPWP meminta kerajaan agar mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terlibat secara langsung atau tidak dalam penerbitan dan penyebaran komik ini serta memantau perkembangan mana-mana pemikiran yang meresap masuk melalui kumpulan yang berselindung di sebalik nama parti politik, NGO, pemimpin, persatuan dan lain-lain agar kejadian seumpama ini tidak akan berulang. Sentimen dan api rasisme (perkauman) yang sempit serta sikap fanatik yang keterlaluan terhadap kelompok tertentu perlu ditentang demi keharmonian agama, bangsa dan negara ini. Jangan ada lagi pihak yang cuba mengeruhkan keadaan dengan membangkitkan isu sensitif seperti kebencian agama, perkauman sempit dan kumpulan haram seperti pengganas.

USTAZ HJ MD ALI BIN JAMIL
Ketua Dewan Ulama’ PAS Wilayah Persekutuan