Home Berita PAS Pusat

Perang Penutup Kerasulan Di Tabuk: Pulang Dengan Kemenangan Ke Atas Rom (26 Ramadhan 9)

3876
SHARE


RAMADHAN DAN PERJUANGAN
PERANG PENUTUP KERASULAN DI TABUK: PULANG DENGAN KEMENANGAN KE ATAS ROM (26 RAMADHAN 9)


KEJAYAAN membuka Mekah yang diikuti oleh kemenangan Perang Hunain dalam tahun kelapan Hijrah telah melonjakkan kedudukan Islam sebagai kuasa politik baru yang mengancam Rom dan Parsi. Namun begitu, ketika kabilah-kabilah Arab mulai masuk Islam, Kaisar Rom, Heraclius dengan sombong menjadikan kegagalan tentera Islam mengalah Rom dalam Perang Mu’tah pada 5 Jamadil Awal 8H sebagai alasan bahawa Rom adalah kerajaan terkuat, dan merancang untuk meluaskan wilayahnya di Tanah Arab yang telah dikuasai oleh Islam. Bahkan, Rom telah bersekongkol dengan penduduk Dumah dan juga orang munafik di Madinah untuk menghancurkan Islam.

Melihat kepada kebiadaban Empayar Rom Timur ini, Rasulullah SAW telah mengarahkan satu persiapan tentera untuk menghadapi kemaraan tentera Rom. Baginda SAW telah membuat persiapan awal dengan mengumpulkan infak fi sabilillah dan membuat penyertaan tentera sehingga mencecah 30,000 tentera. Terdahulu, Nabi SAW telah menghantar Khalid al-Walid ke Dumah untuk menghapuskan pemberontakan Ukaidir bin Abdul Malik yang dibantu oleh Rom. Ketika ini, orang-orang munafik yang diketuai oleh Abu Amir ar-Rahib telah mengadakan pakatan sulit dengan Rom dan mendirikan Masjid Dhirar untuk menghancurkan Islam. Rasulullah SAW juga telah bertindak menghalang pemimpin munafik, Abdullah bin Ubai daripada menyertai ekspedisi ke Tabuk.

Medan Tabuk: Kemenangan Tanpa Pertempuran

Dalam bulan Rejab 9H, setelah kegagalan pasukan Islam mengalahkan Rom di Mu’tah, sejumlah 30,000 tentera Islam, termasuk 10,000 tentera berkuda telah bergerak ke Tabuk dengan dipimpin sendiri oleh Nabi SAW. Perjalanan sejauh 800 km ini mengambil masa 20 hari untuk sampai di Tabuk. Pasukan Rom yang dipimpin oleh Satria Hercules bergerak ke kawasan tersebut dengan 40,000 tentera dan dibantu oleh Bani Ghassan. Kedua-dua pasukan walau bagaimanapun tidak bertembung ekoran tindakan pasukan Rom berpatah ke utara setelah menyedari kekuatan pasukan Islam.

Perjalanan yang sangat panas ini dibantu oleh Allah dengan hujan lebat. Ketika sampai di Tabuk, Allah mendatangkan rasa takut di hati musuh sehingga mereka tidak berani menghampiri pasukan Islam kerana dikatakan melihat 100,000 tentera malaikat dalam pasukan Islam. Setelah itu, pemimpin Ilyah, sebuah kota berdekatan Tabuk, Yuhana bin Ru’bah telah datang kepada Rasulullah SAW untuk berdamai, diikuti oleh penduduk Jarba dan Azruh. Mereka bersedia membayar jizyah dan tunduk kepada Islam. Dengan bertambahnya kekuatan Islam, pasukan Rom telah berundur dan kemenangan dicapai 27 Syaaban 9H tanpa sebarang pertempuran.

Kembali ke Madinah Dengan Kemenangan Yang Menutup Kerasulan

Setelah pasukan Rom berpatah balik dan pasukan Islam mencapai kemenangan tanpa berperang, Nabi SAW bertahan di Tabuk selama 10 hari. Kesempatan ini digunakan untuk memperkukuhkan pengaruh Islam. Banginda SAW menemui kabilah-kabilah untuk berdakwah atau mengadakan perjanjian damai yang menyebabkan mereka membayar jizyah kepada Kerajaan Islam di Madinah. Banyak kabilah Arab telah melepaskan diri daripada pengaruh Rom, sebaliknya tunduk kepada Islam pula. Ia sekali gus membentuk benteng yang kuat bagi menghalang Empayar Rom menyerang wilayah Islam di selatan, di samping menjadi laluan untuk Islam membuka Syam kemudiannya. Sebelum Nabi SAW pulang, satu rombongan pendita Nasrani dari Lembah Sinai telah datang dan mengadakan perjanjian damai dengan Islam, seperti mana Yahudi berdamai dalam Sahifah Madinah.

Selepas 10 hari di Tabuk dengan kejayaan besar, pada 6 Ramadhan 9H, Nabi telah bertolak pulang ke Madinah. Baginda SAW tiba di Madinah pada 26 Ramadhan 9H dengan membawa kemenangan besar dalam perang yang menutup kenabian ini. Perang Tabuk adalah perang terakhir bagi Rasulullah SAW sekali gus perang terakhir dalam sejarah kenabian. Selepas tiba di Madinah dengan kejayaan besar, orang-orang munafik mulai ketakutan, terutama apabila melihat kunjungan-kunjungan kabilah Arab untuk menyerah diri dan menyatakan ke-Islaman mereka. Antara tindakan yang dilakukan oleh Nabi SAW sebaik sahaja tiba dari Tabuk ialah membakar Masjid Dhirar.

MOHD FADLI GHANI
Pusat Penyelidikan PAS
26 Ramadhan 1439 / 11 Jun 2018