Home Berita PAS Perak

Perak Lahir Teknohafiz Berkemahiran

841
SHARE

PERAK LAHIR TEKNOHAFIZ BERKEMAHIRAN

IPOH, 23 JULAI 2020 – Pelajar Tahfiz digalakkan mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan kemahiran sedia ada sebagai nilai tambah ke arah menjadi huffaz berkemahiran professional .

Program TVET Islamik atau TEKNOHAFIZ merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi memartabatkan institusi tahfiz sebagai pusat pendidikan pelajar yang berkualiti bukan sahaja dari aspek Pengajian Tahfiz dan Kitab, malah dari aspek kemahiran teknikal seperti automotif, kulinari, perkimpalan dan sebagainya.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunam Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil, YB Razman Zakaria berkata, program ini dapat memberi pendedahan kepada pengusaha sekolah tahfiz mengenai kepentingan pelajar tahfiz berkemahiran teknikal.

“Program ini dapat membantu melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja mampu menghafaz Al-Quran, malah turut mempunyai kemahiran menerusi latihan intensif yang boleh dimanfaatkan selepas tamat pengajian.

Penggabungan elemen pengajian tahfiz dengan aliran kemahiran akan menjadikan silibus pelajaran lebih istimewa sekaligus menarik minat pelajar untuk menyertai program ini” jelas beliau.Image may contain: 1 person, text

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, YB Mohd Akmal Kamarudin berkata, sebelum ini program kemahiran sebegini pernah dijalankan atas inisiatif pusat tahfiz dan institut latihan kemahiran.

Oleh itu, kerajaan negeri berhasrat menjalankan program latihan kemahiran ini secara menyeluruh melibatkan lebih banyak pusat tahfiz di Negeri Perak.

“Setakat ini 83 pusat tahfiz berdaftar akan kita saran untuk sertai program ini dan tidak ketinggalan, 116 pusat tahfiz tidak berdaftar, Kpita akan bantu dari segi teknikal supaya mereka dapat melibatkan pelajar mereka dengan program ini” tambah beliau.

Tegasnya, sebelum ini pusat tahfiz hanya dikenali sebagai pusat pendidikan Al-Quran dan Pengajian Islam. Namun menerusi inisiatif ini, ilmu kemahiran sebagai ilmu sokongan bagi pelajar hadapi cabaran akan datang turut diterapkan.

“Lebih ramai ilmuan Islam yang bukan saja pakar dalam bidang agama, malah turut dilengkapi dengan kemahiran tertentu yang menjadikan mereka berbeza dengan orang lain” katanya.

Image may contain: one or more people and text

Menurut Pengarah Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), Misbahul Munir Masduki pula, sebagai sekretariat pelaksana, PASAK akan menyelaraskan program tersebut bagi menaik taraf sistem pendidikan tahfiz sedia ada dengan menggabungkan elemen TVET.

“Aktiviti dan silibus latihan akan disusun agar bersesuaian dengan sistem pendidikan di pusat tahfiz tanpa mengganggu fokus utama pengajian, hafalan Al-Quran dan Pengajian Kitab” jelasnya.

Tambahnya lagi, program ini menjadi medium penerapan ilmu kemahiran bagi membantu pelajar menceburi pelbagai bidang pekerjaan yang tidak terhad kepada bidang agama sahaja.

Antara rakan kerjasama bagi menjayakan program ini termasuk Institut Latihan Perindustrian (ILP) Ipoh, Kolej Komuniti Negeri Perak, Giatmara Negeri Perak, Kolej Risda Sdn. Bhd. dan Majlis Amanah Rakyat Bahagian Kemahiran dan Teknikal.

TEKNOHAFIZ merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui kolaborasi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil dan Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan dengan Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) sebagai sekretariat pelaksana.

Turut hadir dalam Majlis Pelancaran program tersebut, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Dato’ Mohd Yusop Yahya.

Sumber: Komunikasi Strategik Perak [Stratcom]