Home Berita PAS Perak

PERAK: Gesa seluruh pimpinan tingkatkan amalan harian

134
SHARE

Oleh Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menggesa seluruh pimpinan, termasuk di peringkat cawangan meningkatkan amalan harian sepertimana tuntutan yang tertera dalam MyMuthaba’ah.

Beliau berkata, amalan-amalan harian itu telah pun kebanyakan kita melaksanakannya, seperti solat berjamaah, membaca al-Quran, wirid pagi petang dalam al-Ma’thurat, solat-solat sunat Rawatib dan lain-lain.

Namun, katanya perlu kita pertingkatkan dan jadikan MyMuthaba’ah ini sebagai motivasi, bukan kita hendak menunjuk-nunjuk.

“Sekurang-kurangnya jawatankuasa kawasan dan juga cawangan disarankan supaya bersama-sama berusaha untuk memenuhi ketetapan yang digariskan dalam MyMuthaba’ah.

“Ini bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, padahal amalan-amalan seperti solat berjamaah, baca Quran, wirid pagi petang dalam al-Ma’thurat itu telah pun jadi amalan harian kita,” katanya ketika melancarkan MyMuthaba’ah sempena Mesyuarat Agung PAS Kawasan Lenggong Kali Ke-18 semalam.

Mesyuarat agung berkenaan yang diadakan di Resort Tasik Raban dekat sini turut menyaksikan Ahli Dewan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu menang tanpa bertanding sebagai Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Lenggong untuk Sesi 2021-2023.

Terdahulu, dalam ucapan sebagai YDP sesi lalu, Razman mengingatkan semua ahli supaya Thiqah kepada pimpinan walau apa pun keputusan ditetapkan setelah dipersetujui bersama di peringkat pimpinan.

Beliau juga menggesa supaya sekurang-kurangnya setiap cawangan ada satu unit usrah yang mesti disertai setiap pimpinan.