KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri perlu terus memulihara dan melindungi kawasan pendaratan penyu agar ikonik Negeri Terengganu yang semakin terancam itu tidak pupus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, Kerteh adalah lokasi tertinggi pendaratan penyu (Maa Da’erah dan Cakar Hutan) untuk bertelur dan seterusnya menetas sebelum dilepaskan kembali ke laut.
“Namun, terlalu banyak ancaman yang perlu diberi perhatian bagi memastikan ia mampu membesar hingga dewasa dan kembali bertelur di perairan Terengganu.
“Apakah perancangan kerajaan negeri dalam mengatasi masalah ini dan pada masa sama merancakkan lagi sektor pelancongan berkaitan penyu khususnya di beberapa lokasi yang tinggi pendaratan di Terengganu?,” soalnya pada sesi perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Udangan Negeri Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, setiap tahun, semakin banyak kematian penyu direkodkan termasuk di sekitar kawasan Kerteh.
Oleh itu, beliau mahu melihat satu langkah terbaik dilakukan bukan sahaja untuk menjaga nasib nelayan yang mencari rezeki dengan memasang pukat malah untuk kelangsungan hidup penyu yang kebanyakannya mati lemas akibat terperangkap dalam alat tersebut.
“Apa tindakan yang telah dilakukan bagi mengawal kematian penyu di perairan Terengganu yang disebabkan oleh pukat-pukat tersebut.
“Apa usaha yang dilakukan oleh pihak kerajaan bagi memastikan lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk bekerjasama bagi memastikan usaha pemuliharaan penyu ini berjaya?,” soalnya lagi.