KUALA NERUS – Seekor penyu agar dianggarkan seberat 60 kilogram (kg) ditemui telah terdampar di Pantai Seberang Takir, di sini, semalam.
Bangkai penyu yang hampir reput itu telah dijumpai oleh seorang peserta yang terlibat dalam program pembersihan pantai di Pantai Seberang Takir.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata tragedi itu membawa peringatan tentang pentingnya menjaga kebersihan pantai dan berusaha melindungi hidupan laut itu yang menjadi ikonik pelancongan negeri.
Jelasnya, pencemaran plastik di laut adalah faktor kepada kematian reptilia berkenaan selain disebabkan oleh pukat tunda serta perbuatan khianat membunuh ibu penyu untuk mendapatkan telur.
“Kita akan bendung dan mencari langkah bagi memastikan ‘ikonik’ negeri Terengganu ini terus terpelihara tambahan pula penyu yang ada skearang ini adalah dari jenis penyu agar setelah penyu belimbing telah tiada akibat telah pupus.
“Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Perikanan untuk buat ‘enforcement’ kepada pukat-pukat nelayan yang mematikan penyu.
“Ini memberi mesej serta gambaran yang jelas bahawa kerajaan negeri sangat prihatin serta serius bagi memastikan penyu di negeri ini akan terus terpelihara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pihak media, semasa menghadiri Program Bersih Pantai Monsun Terengganu, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Razali menasihatkan orang ramai agar bertanggungjawab memelihara kebersihan laut dan pantai.
“Saya menyeru semua pihak supaya tidak membuang sampah ke laut, menghormati habitat semula jadi kehidupan marin dan menyokong usaha konservasi.
“Bersama-sama kita mampu memastikan keindahan alam sekitar ini kekal untuk generasi akan datang,” tegasnya.