Home Berita PAS Wilayah

Penyatuan Ummah PAS-UMNO Solusi kepada Kebobrokan Negara

674
SHARE

Oleh: NUSAIBAH IBRAHIM

KUALA LUMPUR,3 September- Kerjasama PAS dan UMNO diyakini menjadi kelebihan bagi meraih kemenangan majoriti di Wilayah Persekutuan pada PRU15, sekali gus membentuk gabungan Kerajaan Negeri buat pertama kali.

Semasa siri Jelajah Ceramah Himpunan Penyatuan Ummah (#HPU914)di Dewan Yayasan Nusa Taman Maluri, Ketua Penerangan PAS Malaysia, Tuan Kamaruzaman Mohamad

berkata, muktahir ini parti DAP lantang memperjuangkan prinsip parti mereka yang terpatri menerusi Deklarasi Setapak iaitu perjuangan membentuk sebuah negara yang mempunyai hak sama rata terhadap semua agama dan kaum.

Hal ini dapat disaksikan apabila himpunan dan laporan polis berkaitan penghinaan terhadap Rasulullah tidak diendahkan oleh PDRM dan pertikaian kuota kemasukan matrikulasi yang mahu disamaratakan kepada semua kaum, sedangkan orang Melayu mempunyai hak istimewanya di tanah merdeka ini, seperti yang terpatri dalam perlembagaan.

Menurut Tuan Kamaruzaman, Bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan turut dihina apabila menteri berani mengeluarkan pekeliling dalam bahasa Mandarin, selain perlaksaan UEC yang sepenuhnya diajar dalam bahasa Mandarin.

Kemuncaknya, Kerajaan Pakatan Harapan telah menunjukkan kebiadapan apabila telah meratifikasi Statut Rom dan mahu menandatangani ICERD, yang mana kesan kedua-keduanya akan melemahkan serta melumpuhkan kuasa Raja-Raja Melayu.

Namun demikian, ujar Tuan Kamaruzaman, tindakan pantas NGO UMMAH merencanakan usaha membantah pelaksanaan ICERD dan Statut Rom telah menyelamatkan institusi Di-Raja daripada diganggu-gugat oleh kabinet menteri parti DAP.

Selain itu, beliau menjelaskan, usaha menghapuskan hukuman bunuh merupakan salah satu langkah halus DAP melanggar kedaulatan Majlis Raja-Raja kerana satu daripada 33 kesalahan yang dijatuhi hukuman bunuh ialah menderhaka kepada Raja dan Sultan.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Dato’ Dr. Shamsul Anuar Nasaran telah membidas kenyataan sesetengah pihak yang menuduh apabila PAS dan UMNO bersatu, maka akan terbentuk negara Taliban, ketika tampil di pentas Jelajah #HPU914.

Hujah Shamsul, rakyat boleh melihat rekod pentadbiran UMNO sebelum ini, dan PAS di Kelantan yang mana rakyat pelbagai kaum boleh hidup harmoni serta tiada mana-mana kaum yang disisihkan, bahkan rakyat yang bukan Islam bebas mengamalkan agama dan budaya masing-masing.

Turut hadir pada malam itu ialah Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Al Fadhil Ustaz Azhar Yahya dan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Kesemua penceramah di Jelajah Pra-Penyatuan Ummah masing-masing bersetuju bahawa kekalahan Barisan Nasional pada PRU 14 lepas membawa hikmah yang besar kepada geopolitik negara, kerana terbentuknya penyatuan ummah yang dipaksikan dengan Islam oleh kedua-dua parti lagenda tanah air, PAS dan UMNO.

Program Jelajah #HPU 914 anjuran bersama PAS dan UMNO Wilayah Persekutuan, yang mana Hj. Khairul Anuar Abdul Manap selaku pengarah program, merangkap Ketua Penerangan PAS Wilayah Persekutuan telah berlangsung dengan jayanya dengan kehadiran ahli PAS dan UMNO seluruh Wilayah Persekutuan.

Untuk makluman, program Jelajah #HPU914 ini adalah siri promosi ke majlis menandatangan piagam bersama UMNO dan PAS di PWTC pada 14hb September 2019 nanti.