Home Berita PAS Selangor

Penyatuan PAS-Umno Hulu Langat kian mengukuh

696
SHARE


Oleh : Aida Ali

HULU LANGAT, 21 Julai : PAS Kawasan Hulu Langat telah memenuhi jemputan ke  Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Hulu Langat  oleh Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dato’ Seri Tajuddin Abdul Rahman, semalam.

Yang Dipertua PAS Hulu Langat, Tuan Haji Mad Jan Sulong mengetuai delegasi 15 wakil PAS Hulu Langat hadir sebagai satu lagi langkah pengukuhan penyatuan ummah pada majlis di Dewan Teratak D’Nanding, Batu 13, di sini.

Dato’ Tajuddin dalam ucapannya menyeru peringkat akar umbi mengambil inisiatif untuk saling berkenalan demi memperkuatkan perpaduan ummah di peringkat Cawangan dan Pusat Daerah Mengundi.

“Yakinlah dengan kerjasama ini P.101 (Hulu Langat) dan N.23 (Dusun Tua) akan kembali ke tangan kita untuk rakyat. Sesiapa juga yang akan dipilih untuk menjadi calon, maka dia bukan calon Umno atau calon PAS, tetapi calon penyatuan ummah,” tegas beliau disambut sorakan hadirin.

Menurut Md Jan, kehadiran delegasi PAS ke majlis dihadiri lebih 200 perwakilan Umno, pemerhati, veteran dan wakil komponen BN itu adalah demi penyatuan ummah yang diusahakan bertepatan dengan nas Al Quran.

“Hubungan kerjasama PAS dan Umno adalah atas konsep ta’awun demi memperkasa serta mendaulatkan Islam sebagai addin dan rujukan teras dalam mengurustadbir rakyat berbilang kaum dan negara amnya. Selagi Umno tidak melanggar syariat, PAS akan memberi kerjasama yang baik.

“Diharapkan kedua-dua parti teras Melayu ini akan saling menghormati dasar perjuangan masing-masing dan kerjasama yang dijalinkan ini dapat membuahkan kesejahteraan untuk rakyat, agama, bangsa dan negara.

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan,” ujarnya bersandar firman Allah dari ayat 2 surah Al-Maidah.

Pimpinan PAS Hulu Langat yang turut mengiringi adalah Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Ashri Lateh serta Ketua dan Naib Ketua Muslimat, Zaiton Ahmad dan Norzanalila Mohd Fadzil, selain Pengarah Pilihan Raya Muslimat, Norliza Mukri.