Minda Presiden PAS
[Bil: 1 / 2023]
PENTINGNYA KASIH KEPADA KAUM DAN HARAMNYA ‘ASABIYYAH PERKAUMAN
Ramai juga kalangan mereka terpengaruh dengan teori asing yang bukan daripada ajaran Islam, sehingga mereka terperangkap dalam kefahaman yang salah dan sesat, walaupun dalam satu aspek tertentu sahaja. Antaranya, aspek kewujudan bangsa dan kaum yang hendak dihapuskan, tanpa menyedari telah mencabar kekuasaan Allah Pencipta alam, termasuklah manusia yang ditetapkan peranannya untuk beribadat, berkhilafah dan memikul amanah bagi melaksanakan syariat Allah SWT.
Kewujudan kaum atau bangsa dalam kejadian manusia mengandungi suatu hikmah dalam penciptaan makhluk Allah SWT. Terdapat banyak ayat al-Quran dan Sunnah yang menjadi petunjuk yang melarang daripada menggunakan akal semata-mata, kerana buta al-Quran itu lebih bahaya daripada buta huruf. Lalu akhirnya terpengaruh dengan teori ciptaan manusia yang terpesong daripada petunjuk Allah SWT.
Allah SWT menetapkan kewujudan bangsa dan bahasa dalam kejadian manusia. Hal ini dijelaskan oleh firman-Nya:
﴿وَمِنۡ آيَاتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢﴾
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi serta berlainan bahasa dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada hal yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah al-Rum: 22)
Selain itu, Allah SWT menegaskan antara yang menjadi hikmah wujudnya kaum dan bangsa juga ialah:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾
“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki (Adam AS) dan seorang perempuan (Hawwa’ AS), kemudiannya menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)
Allah SWT menetapkan kepelbagaian kaum dan bangsa yang diletakkan mengikut wilayah yang berbeza kedudukan dan hasilnya yang berlainan di muka bumi, di samping diberikan berbagai-bagai kebolehan yang melengkapkan kehidupan bermasyarakat madani. Perkara ini adalah bagi memakmurkan bumi dengan menguruskan sumber-sumber yang berbeza itu dengan kebolehan mencipta sebuah tamadun.
Hal ini sekali gus mewajibkan hubungan yang berkonsepkan ta‘awun (bertolong-menolong) antara satu sama lain secara tabii dan hubungan yang berkonsepkan ta‘aruf (berkenalan dan berhubungan) dalam kalangan pelbagai bangsa itu dalam perkara kebajikan serta mentaati Allah SWT. Hal ini sebagaimana firman-Nya:
﴿…وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ٢﴾
“…Dan hendaklah kamu tolong-menolonglah untuk (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya.” (Surah al-Ma’idah: 2)
Hubungan sesama manusia disempurnakan dengan hidayah (petunjuk) Allah Pencipta alam yang dinamakan al-din (Islam) yang dianut oleh semua para rasul yang dilantik oleh-Nya, serta Kitab Allah yang diwahyukan kepadanya. Tujuannya adalah bagi mengurus akal dan mengawal nafsu keinginan mengikut sempadan fitrah kejadian manusia yang berbeza dengan makhluk yang lain dengan sempadan fitrah masing-masing. Firman Allah SWT:
﴿كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ النَّبِيِّينَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣﴾
“Manusia itu adalah daripada umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberikan keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan itu. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana kedengkian antara mereka sendiri. Maka, Allah memberikan petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberikan petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.” (Surah al-Baqarah: 213)
Perbuatan di luar tabii yang melampaui sempadan fitrah manusia hanya akan menyebabkan berlakunya kemusnahan dalam kehidupan manusia dan alam semesta yang telah disaksikan kini. Firman Allah SWT:
﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾
“Telah timbul pelbagai kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan kepada mereka sebahagian daripada balasan (akibat) perbuatan, supaya mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum: 41)
Setiap orang rasul itu dilantik dalam kalangan bangsa tertentu yang ditetapkan oleh Allah SWT pada setiap zaman daripada kalangan kaumnya dan melalui bahasa kaumnya. Hal ini dinyatakan oleh firman-Nya:
﴿وَمَآ أَرۡسَلۡنَا مِن رَّسُولٍ إِلَّا بِلِسَانِ قَوۡمِهِۦ لِيُبَيِّنَ لَهُمۡۖ فَيُضِلُّ ٱللَّهُ مَن يَشَآءُ وَيَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ٤﴾
“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun, melainkan dengan bahasa kaumnya, supaya dia dapat memberikan penjelasan secara terang kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan memberikan petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya; dan Dialah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ibrahim: 4)
Peranan jemaah (kumpulan) daripada kalangan bangsa yang bersama rasul itu menjadi satu tonggak terpenting kepada perjuangannya. Setiap orang rasul membina dukungan daripada kaum dan bangsanya sendiri, khususnya dalam kalangan keluarga terdekat. Maka, dakwah itu bermula kepada keluarga kaum dan bangsa yang wajib diselamatkan dahulu aqidahnya kerana ia menjadi teras kepada segala aspek yang lain dan tonggak yang mendukung perjuangannya.
Allah SWT menceritakan kisah Nabi Syu‘aib AS sebagai contoh nabi yang mendapat dukungan kaumnya sendiri, sebagaimana firman-Nya:
﴿قَالُواْ يَٰشُعَيۡبُ مَا نَفۡقَهُ كَثِيرٗا مِّمَّا تَقُولُ وَإِنَّا لَنَرَىٰكَ فِينَا ضَعِيفٗاۖ وَلَوۡلَا رَهۡطُكَ لَرَجَمۡنَٰكَۖ وَمَآ أَنتَ عَلَيۡنَا بِعَزِيزٖ٩١ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَرَهۡطِيٓ أَعَزُّ عَلَيۡكُم مِّنَ ٱللَّهِ وَٱتَّخَذۡتُمُوهُ وَرَآءَكُمۡ ظِهۡرِيًّاۖ إِنَّ رَبِّي بِمَا تَعۡمَلُونَ مُحِيطٞ٩٢﴾
“Mereka berkata: ‘Wahai Syu‘aib! Kami tidak banyak mengerti tentang apa yang kamu katakan itu; dan sesungguhnya kami benar-benar melihat kamu seorang yang lemah antara kami; kalau tidaklah kerana keluargamu tentulah kami telah merejammu, sedang kamu pun bukanlah seorang yang berwibawa di sisi kami.’ (91); Syu‘aib menjawab: ‘Wahai kaumku! Apakah keluargaku lebih terhormat menurut pandanganmu daripada Allah, sedang Allah itu kamu jadikan sesuatu yang terbuang di belakangmu? Sesungguhnya, (pengetahuan) Tuhanku meliputi apa yang kamu kerjakan.’ (92)” (Surah Hud: 91-92)
Seterusnya, Allah SWT menceritakan tentang cabaran yang dihadapi oleh Nabi Lut AS dalam keseorangan tanpa sokongan keluarga yang kuat melalui firman-Nya:
﴿قَالَ لَوۡ أَنَّ لِي بِكُمۡ قُوَّةً أَوۡ ءَاوِيٓ إِلَىٰ رُكۡنٖ شَدِيدٖ٨٠﴾
“Lut berkata: ‘Seandainya, aku ada mempunyai kekuatan (untuk menolak kamu) atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat (tentu aku lakukan).’” (Surah Hud: 80)
Sabda Rasulullah SAW:
رَحْمَةُ اللَّهِ عَلَى لُوطٍ، لَقَدْ كَانَ يَأْوِي إِلَى رُكْنٍ شَدِيدٍ. -يَعْنِي: اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ- فَمَا بَعَثَ اللَّهُ بَعْدَهُ مِنْ نَبِيٍّ إِلَّا فِي ثَرْوَةٍ مِنْ قَوْمِهِ.
“Rahmat Allah kepada Nabi Lut. Sebenarnya, dia telah berlindung kepada yang hebat (yakni Allah), namun Allah tidak mengutuskan seorang rasul (selainnya), melainkan bersamanya kaum yang mendukung perjuangannya.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 3116 dan al-Bazzar, no. 7934)
Justeru, Allah SWT berfirman kepada rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW:
﴿وَأَنذِرۡ عَشِيرَتَكَ ٱلۡأَقۡرَبِينَ٢١٤﴾
“Dan berilah peringatan kepada kerabat-kerabatmu yang terdekat.” (Surah al-Syu‘ara’: 214)
Walaupun Rasulullah SAW menjadi rasul yang diutuskan kepada seluruh manusia di seluruh alam, namun Baginda memulakan dakwah bertonggakkan jemaah yang terdiri daripada kalangan keluarga, kaum dan bangsa Quraisy.
Semua para rasul sayang akan kaum dan bangsanya diselamatkan bersama Islam. Kemudiannya, Allah SWT menceritakan Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS yang berjuang untuk menyelamatkan kaumnya, iaitu Bani Isra’il daripada kezaliman Firaun. Firman Allah SWT:
﴿فَأۡتِيَاهُ فَقُولَآ إِنَّا رَسُولَا رَبِّكَ فَأَرۡسِلۡ مَعَنَا بَنِيٓ اِسۡرَآءِيۡلَ وَلَا تُعَذِّبۡهُمۡۖ قَدۡ جِئۡنَٰكَ بِـَٔايَةٍ مِّن رَّبِّكَۖ وَٱلسَّلَٰمُ عَلَىٰ مَنِ ٱتَّبَعَ ٱلۡهُدَىٰٓ٤٧﴾
“Maka, datanglah kamu berdua kepadanya (Firaun) dan katakanlah: ‘Sesungguhnya, kami berdua adalah utusan Tuhanmu, maka lepaskanlah Bani Isra’il bersama kami dan janganlah kamu menyeksa mereka. Sesungguhnya, kami telah datang kepadamu dengan membawa bukti (atas kerasulan kami) daripada Tuhanmu. Dan keselamatan itu dilimpahkan kepada orang yang mengikuti petunjuk.” (Surah Taha: 47)
Namun, Islam tetap lebih diutamakan daripada bangsa dan keluarga sendiri yang menolak Islam, sebagaimana firman Allah SWT:
﴿لَّا تَجِدُ قَوۡمٗا يُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِ يُوَآدُّونَ مَنۡ حَآدَّ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَلَوۡ كَانُوٓاْ ءَابَآءَهُمۡ أَوۡ أَبۡنَآءَهُمۡ أَوۡ إِخۡوَٰنَهُمۡ أَوۡ عَشِيرَتَهُمۡۚ أُوْلَٰٓئِكَ كَتَبَ فِي قُلُوبِهِمُ ٱلۡإِيمَٰنَ وَأَيَّدَهُم بِرُوحٖ مِّنۡهُۖ وَيُدۡخِلُهُمۡ جَنَّٰتٖ تَجۡرِي مِن تَحۡتِهَا ٱلۡأَنۡهَٰرُ خَٰلِدِينَ فِيهَاۚ رَضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُۚ أُوْلَٰٓئِكَ حِزۡبُ ٱللَّهِۚ أَلَآ إِنَّ حِزۡبَ ٱللَّهِ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ٢٢﴾
“Kamu tidak akan mendapati kaum yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang itu bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara ataupun keluarga mereka. Mereka itulah orang yang menanamkan iman dalam hati mereka dan menguatkan mereka dengan pertolongan yang datang daripada-Nya dan mereka dimasukkan oleh-Nya ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun merasa puas terhadap (limpahan rahmat)-Nya. Mereka itulah Hizbullah (golongan Allah). Ketahuilah, sesungguhnya itulah golongan yang mendapat kemenangan (pada akhirnya).” (Surah al-Mujadalah: 22)
Berpandukan ayat di atas, diharamkan ‘asabiyyah kaum dan bangsa (fanatik perkauman), apabila perjuangan bangsa atau kaum dijadikan aqidah yang mengatasi Islam. Sehingga menyebabkan mereka itu berlaku zalim atau membela kaumnya yang zalim.
Allah SWT juga menceritakan kisah seorang hartawan daripada kalangan kaum Nabi Musa AS bernama Qarun yang dibinasakan dan dilaknat oleh-Nya, sebagaimana firman-Nya:
﴿إِنَّ قَٰرُونَ كَانَ مِن قَوۡمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيۡهِمۡۖ وَءَاتَيۡنَٰهُ مِنَ ٱلۡكُنُوزِ مَآ إِنَّ مَفَاتِحَهُۥ لَتَنُوٓأُ بِٱلۡعُصۡبَةِ أُوْلِي ٱلۡقُوَّةِ إِذۡ قَالَ لَهُۥ قَوۡمُهُۥ لَا تَفۡرَحۡۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡفَرِحِينَ٧٦ وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأٓخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَاۖ وَأَحۡسِن كَمَآ أَحۡسَنَ ٱللَّهُ إِلَيۡكَۖ وَلَا تَبۡغِ ٱلۡفَسَادَ فِي ٱلۡأَرۡضِۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُفۡسِدِينَ٧٧﴾
“Sesungguhnya, Qarun adalah termasuk kaum Musa, maka dia berlaku zalim terhadap mereka, dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah) ketika kaumnya berkata kepadanya: ‘Janganlah kamu terlalu bangga; sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri.’ (76); Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (keni‘matan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan. (77)” (Surah al-Qasas: 76-77)
Perlulah diketahui bahawa terdapat perbezaan antara mempertahankan bangsa yang disesatkan dan menyelamatkan mereka bersama Islam dengan mempertahankan bangsa atas prinsip ‘asabiyyah kebangsaan yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ.
“Bukan daripada kalangan kita; orang yang mengajak kepada ‘asabiyyah, bukan daripada kalangan kita; orang yang berjuang atas dasar ‘asabiyyah, dan bukan daripada kalangan kita; orang yang mati atas dasar ‘asabiyyah.” (Riwayat Abu Dawud, no. 5121)
Seterusnya, Baginda SAW menjelaskan makna ‘asabiyyah melalui sabdanya:
أَنْ تُعِينَ قَوْمَكَ عَلَى الظُّلْمِ.
“‘Asabiyyah itu ialah menolong kaum kamu dalam perkara kezaliman.” (Riwayat Abu Dawud, no. 5119)
Kini, lahirnya fahaman liberal atau sosialis yang menghapuskan kewujudan bangsa secara mutlak. Fahaman ini hendak dibawa ke dalam masyarakat Islam, sehingga memisahkan peranan Islam daripada menyelamatkan bangsanya sendiri dan diheret oleh musuh Islam yang menyesatkan dengan menindas bangsanya sendiri kerana Islam yang dianuti.
Sehinggakan, ada kalangan mereka yang berwala’ kepada musuh Islam yang mahu merosakkan bangsanya dengan ideologi dan kefahaman yang sesat. Hal ini telah disebutkan oleh firman Allah SWT:
﴿إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ يَتَوَلَّهُمْ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ٩﴾
“Sesungguhnya, Allah hanyalah melarang kamu menjadikan sebagai wali (kawanmu orang-orang yang rapat), mereka memerangi kamu kerana agama, dan mengusir kamu dari negeri kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan (dengan memberikan wala’), maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mumtahanah: 9)
Hal ini sekali gus menunjukkan bahawa menentang kaum bukan Islam yang menunjukkan permusuhan terhadap Islam, sama ada terhadap syariatnya atau penganutnya atau kedaulatannya bukanlah sebahagian daripada ‘asabiyyah atau rasis. Bahkan, perkara itu merupakan kewajipan besar dengan perintah Allah SWT dan Sunnah Rasulullah SAW. Mereka yang menentang pendekatan Islam ialah musuh Islam dan umatnya.
Allah SWT memberikan amaran kepada bangsa Arab yang tidak menegakkan dan mempertahankan Islam, dan mereka itu digantikan oleh bangsa lain yang dipilih selepasnya:
﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مَا لَكُمۡ إِذَا قِيلَ لَكُمُ ٱنفِرُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱثَّاقَلۡتُمۡ إِلَى ٱلۡأَرۡضِۚ أَرَضِيتُم بِٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا مِنَ ٱلۡأٓخِرَةِۚ فَمَا مَتَٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا فِي ٱلۡأٓخِرَةِ إِلَّا قَلِيلٌ٣٨ إِلَّا تَنفِرُواْ يُعَذِّبۡكُمۡ عَذَابًا أَلِيمٗا وَيَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا ۗوَٱللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيۡءٖ قَدِيرٌ٣٩﴾
“Wahai orang-orang yang beriman! Apakah sebabnya bila dikatakan kepadamu: ‘Berangkatlah (untuk berjuang) pada jalan Allah (bagi memenangkan Islam)’, kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan di akhirat? Padahal keni‘matan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. (38); Jika kamu tidak berangkat untuk berjuang, nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantikan (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepada-Nya sedikit pun. Allah itu Maha Kuasa atas segala sesuatu. (39)” (Surah al-Tawbah: 38-39)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 8 Jumada al-Akhirah 1444 / 1 Januari 2023