KUALA TERENGGANU – Penjawat awam diingatkan supaya lebih cakna terhadap bahaya penggunaan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi yang boleh menjejaskan kesihatan.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Kasemani Embong berkata, masih ramai pengguna termasuk dalam kalangan penjawat awam yang kurang peka mengenai risiko produk sedemikian sering dijual secara dalam talian.
“Kita dapati banyak produk yang tidak melalui pemeriksaan keselamatan mengandungi bahan terlarang seperti steroid, sildenafil, sibutramine dan hydroquinone yang boleh membahayakan kesihatan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Cakna Sihat Penjawat Awam di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Menurutnya, program julung kali itu dianjurkan oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.
Mengangkat tema “Cakna Kesihatan, Tolak Ubat Tidak Sah”, karnival selama tiga hari itu bertujuan mendidik penjawat awam agar lebih prihatin terhadap amalan gaya hidup sihat dan mampu mengenal pasti produk kesihatan yang berdaftar melalui aplikasi rasmi seperti FarmaCheck NPRA dan MyHealth KKM.
Antara aktiviti menarik yang disediakan sepanjang karnival termasuk Zumba, Tanggathon, pemeriksaan kesihatan umum, pendengaran dan pergigian serta pameran kesihatan.
Beliau menambah, terdapat empat objektif utama program ini ialah meningkatkan kesedaran penjawat awam mengenai bahaya produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi.
”Mendorong amalan gaya hidup sihat untuk menjaga kesihatan fizikal dan mental serta mempromosikan penggunaan aplikasi FarmaCheck untuk mengenal pasti status pendaftaran produk.
”Menyebarluaskan Kempen Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) dalam kalangan penjawat awam,” tambah beliau.
Selain itu, katanya, penjagaan kesihatan dalam kalangan penjawat awam sangat penting kerana mereka merupakan tulang belakang kepada penyampaian perkhidmatan awam negeri.
Justeru itu, beliau berharap program ini dapat memberi impak positif dan akan diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan ke arah penjawat awam yang sihat dan produktif.