KUALA TERENGGANU – Lelaki Muslim di Terengganu yang culas menunaikan solat Jumaat tanpa alasan munasabah berdepan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000, atau kedua-duanya sekali.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata tindakan itu selaras dengan pindaan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) 2016, yang berkuat kuasa selepas digubal beberapa tahun lalu.
Menurutnya, sebelum pindaan dibuat, hanya mereka yang tidak hadir solat Jumaat tiga kali berturut-turut akan dikenakan tindakan.
“Namun kini, kegagalan hadir walaupun sekali sahaja tanpa alasan munasabah sudah boleh diambil tindakan.
“Peringatan ini penting kerana solat Jumaat bukan sekadar syiar, tetapi lambang kekuatan umat. Hukuman hanya akan dilaksanakan sebagai jalan terakhir sekiranya individu tetap culas selepas diberi peringatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Bagi memastikan kewajipan itu tidak diabaikan, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan memasang kain rentang peringatan di perkarangan masjid setiap daerah.
Usaha itu jelas beliau bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
Dalam masa sama katanya, tindakan penguatkuasaan boleh dilakukan hasil laporan orang awam, rondaan mahupun operasi bersepadu JHEAT bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Dr. Muhammad Khalil turut menyeru masyarakat melihat pelaksanaan undang-undang ini sebagai langkah mendidik dan menjaga martabat Islam, khususnya bagi membentuk kefahaman generasi muda.
Beliau menjelaskan, seksyen berkaitan sebenarnya telah wujud sejak Enakmen Jenayah Syariah 2001, sebelum diperkemaskan melalui pindaan pada tahun 2016.