Home Berita PAS Terengganu

Peniaga ‘Tidak Sah’ punca Pasar Bukit Besar terus kosong

24
SHARE

KUALA TERENGGANU – Isu kekosongan ruang niaga di Pasar Bukit Besar terus membelenggu operasi pasar tersebut walaupun pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kemunculan peniaga-peniaga tidak sah di tepi jalan dikenal pasti sebagai punca utama kekosongan bangku dan lot kedai yang ditawarkan kepada umum.

“Punca utama kekosongan ruang-ruang pasar ini dan pasar-pasar lain adalah kemunculan peniaga-peniaga secara tidak sah di tepi jalan. Pihak MBKT dan kerajaan perlu berhati-hati dalam menangani isu ini kerana peniaga-peniaga ini sebahagian besarnya adalah golongan B40 dan Bumiputera Islam.

“Dalam masa yang sama, Kerajaan dan MBKT sedar akan impak operasi perniagaan tidak sah ini termasuklah dari segi keselamatan pengguna jalan raya, kebersihan tandas dan persekitaran serta keekosongan ruang niaga yang sah di pasar-pasar milik PBT dan kesan kepada pendapatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berikutan kekosongan ruang niaga ini,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Menurutnya, MBKT telah menerima peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menaiktaraf Pasar Bukit Besar, termasuk kerja-kerja mengecat semula dan membaiki tandas.

Namun begitu, usaha menaiktaraf tidak akan memberi impak jika isu kekosongan ruang niaga tidak ditangani secara serius.

“MBKT telah beberapa kali mengeluarkan iklan untuk pengisian ruang-ruang niaga yang kosong. Malah, MBKT telah ambil inisiatif menswastakan kepada peniaga-peniaga di tepi jalan untuk memindahkan perniagaan mereka ke dalam pasar ini.

“Namun demikian, peniaga-peniaga ini enggan terima tawaran MBKT,” ujar Wan Sukairi.

Justeru itu, kerajaan Negeri dan MBKT akan mengadakan perbincangan khas dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian menyeluruh yang bukan sahaja menjaga kepentingan peniaga sah, tetapi turut mempertimbang kebajikan peniaga kecil yang bergantung kepada hasil jualan harian.