Home Berita PAS Terengganu

Peniaga santan terharu terima sumbangan

17
SHARE

KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga santan, Rozimah Abdullah, 47 tahun, dari Kg Gong Kekabu, Bukit Payung, tidak dapat menahan perasaan sebak apabila menerima sumbangan berharga melalui Program Komuniti Usahawan hari ini.

Bantuan yang diterima dalam bentuk mesin proses santan, kereta tolak dan beberapa peralatan perniagaan lain diharapkan dapat memberikan dorongan baru untuk memperkasa perniagaannya yang dimulakan pada Mac 2024.

Rozimah, yang memulakan perniagaannya tanpa pengalaman, berkongsi rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diterima.

“Saya sangat terharu dengan kehadiran YB Ariffin (Deraman) dan pegawai YPU pada hari ini.

“Saya tidak menyangka akan menerima bantuan ini, apatah lagi dalam keadaan saya yang baru memulakan perniagaan,” ujarnya dengan nada penuh emosi.

Beliau juga meluahkan rasa terima kasih yang mendalam kepada kerajaan negeri atas keprihatinan yang diberikan kepada peniaga kecil sepertinya.

“Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada YB Ariffin dan kerajaan negeri.

“Semoga mereka dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik, dan dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Rozimah memulakan perniagaan santan di Bukit Payung sebelum berpindah ke halaman rumahnya pada Mei 2024.

Walaupun tanpa pengalaman dan menghadapi pelbagai cabaran, beliau tetap bersemangat untuk terus menjalankan perniagaan demi masa depan keluarganya.

Bantuan yang diterimanya hari ini diharap dapat meringankan beban dan memberi impak positif dalam memperkembangkan lagi perniagaannya.