Home Berita PAS Terengganu

Peniaga kotor akan diambil tindakan

12
SHARE

SETIU – Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri Terengganu, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah menasihati peniaga-peniaga bazar Ramadan di negeri itu supaya terus mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan isu kesihatan dan kebersihan sentiasa terjamin.

“Sekiranya didapati peniaga atau penganjur bazar itu melanggar syarat ditetapkan pihak PBT dan majlis daerah, tindakan akan diambil.

“Tindakan atau denda memang tidak boleh dielakkan kerana ia sebagai satu pengajaran kepada peniaga atau penganjur supaya mereka menjadikan isu keselamatan makanan sesuatu yang paling utama untuk manfaat pembeli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan peringkat Negeri Terengganu di Bazar Ramadan Sungai Tarom, petang semalam.

Tegasnya lagi, tindakan sehingga tarik lesen tidak mustahil dilakukan sekiranya peniaga atau penganjur bazar masih lagi ingkar dalam mematuhi perkara tersebut.

“Sekiranya ingkar, kita akan buat termasuk yang itu (tarik lesen).

“Sebab itu juga kita berharap kepada komen dan aduan orang ramai jika mereka mendapati makanan yang dibeli tercemar, kotor dan berlaku keracunan makanan maka boleh buat aduan segera di PBT masing-masing.

“Setiap bazar Ramadan juga ada pegawai bertugas untuk kita lapor secara langsung bagi memastikan kejadian tidak diingini daripada berlaku,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya pihak Jabatan Kesihatan negeri Terengganu dan pihak Majlis Daerah supaya sekurang-kurangnya sekali dalam bulan ini melakukan pemeriksaan di bazar Ramadan yang ada.

Menurutnya, ia sebagai satu langkah pencegahan isu keracunan makanan, penipuan dan keselamatan yang sepatutnya dijaga pengusaha bazar daripada berulang.

“Saya (juga) menasihati supaya semua pembeli dan peniaga supaya memberikan keutamaan kepada isu kesihatan dari segi kebersihan, kita juga sangat menggalakkan pembayaran oleh pembeli dengan sistem tanpa tunai untuk memastikan aspek kebersihan berlaku.

“Kadang-kadang penjual memegang makanan, kemudian dia pegang pula duit dan di situ kita bimbang berlaku (penyebaran)kuman dan jangkitan, lebih selamat pembayaran tanpa tunai,” ujarnya.