KUALA TERENGGANU – Pengerusi Jawatankuasa pelancongan, kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, menyifatkan ketamakan pengusaha industri pelancongan marin serta sikap acuh tidak acuh segelintir pelancong menyumbang kepada risiko kemalangan.
Mengambil contoh tragedi di Pulau Perhentian, beliau berkata siasatan awal mendapati bot tersebut mempunyai permit sah dan dikendalikan oleh pengendali berlesen, namun pengusaha didapati melanggar had kapasiti muatan.
“Masalah sebenarnya jangka masa bisnes dia pendek. Bisnes dia untuk (pelancongan marin) Terengganu ini dulu berjangka 6 bulan. Sekarang ini apabila perubahan iklim, dia datang angin serta merta. Hujan diluar monsun timur laut.
“Jadi bisnes dia hanya 4 bulan sahaja. Maka semasa pengunjung sedang ramai, dia berusaha secara bersungguh-sungguh. Dalam masa yang sama, jenis tamak pun ada. Dia boleh isi 12 sahaja tapi dia isi sampai 15 (penumpang).
“Selepas itu, harga tiket yang sepatutnya RM45, dia kurangkan harga bagi jadi RM10, RM15 atau RM20 untuk menambah bilangan penumpang. Ini yang saya maksudkan dengan pengusaha bot yang tamak,” katanya.
Jelas beliau, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan, setiap lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut adalah mengikut saiz vesel laut digunakan pengusaha.
“Kalau awak nak muat banyak, ramai orang, ambiklah lesen yang lebih daripada 12 orang. Mengikut saiz bot awak itu,” nasihatnya ringkas, ditujukan kepada pengusaha yang masih mengambil remeh akan hal tersebut.
Dalam senario lain, Razali turut menegur sikap segelintir pelancong yang memandang mudah kepada peraturan keselamatan, khususnya dalam pemakaian jaket keselamatan ketika berada di dalam bot.
“Pelancong culas nak pakai jaket keselamatan apabila berada didalam bot. Ini yang terserempak dengan saya, dia hanya pakai masa nak naik bot selepas itu bila di laut dia tidak pakai.
“Sedangkan di bot itu sudah tertulis diwajibkan pakai jaket kelamatan, pakai sehingga turun daripada bot. Itu yang sukar untuk kita nak bendung kecuali melalui penguatkuasaan,” ujarnya.
Namun, Razali menegaskan bahawa kerajaan negeri hanya berperanan sebagai pembimbing dalam sektor pelancongan, manakala kuasa penguatkuasaan terletak pada agensi persekutuan seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut dan Taman Laut.
“Jadi kalau ketiga-tiga agensi ini bekerjasama dengan baik saya yakin dan percaya ia boleh dibendung,” nyatanya kepada pemberita dalam sidang media bertempat di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Sebagai langkah pencegahan lain, beliau mencadangkan agar setiap pengusaha bot mewajibkan taklimat keselamatan ringkas kepada penumpang seperti amalan dalam kapal terbang.
Menurutnya, pengusaha boleh memaklumkan kapasiti bot, destinasi, cuaca semasa dan pemakaian jaket keselamatan kepada penumpang vesel dan beliau yakin dengan pelaksanaan yang betul ia mampu menyelamatkan nyawa.
“Tak lama pun, tiga minit sahaja tak sampai lima minit. Ada sebahagiannya buat. Ini adalah hasil daripada libat urus pihak pelancongan. Dalam masa yang sama, ada juga yang tidak buat,” jelasnya.
Tambahnya lagi, program libat urus tahunan bersama pengusaha bot, penguatkuasa, dan agensi berkaitan akan diteruskan bagi memperkukuh keselamatan pelancong.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga akan terus menggalakkan kehadiran pelancong ke pulau-pulau di Terengganu, namun aspek keselamatan akan menjadi keutamaan.