Home Berita PAS Terengganu

Pengundi kali pertama mahu Calon Bersih, Berintegriti

53
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sebahagian besar pengundi kali pertama di negeri ini meletakkan keutamaan untuk memilih wakil rakyat yang bersih daripada salah laku dan rasuah serta mengutamakan kebajikan rakyat.

Intan Nursyahira Azmi, 20, dari Kampung Baloh, Manir berkata, ciri-ciri tersebut penting bagi memastikan negara berada di landasan tepat untuk keluar daripada masalah ekonomi dan ketidakstabilan politik.

“Saya sangat teruja untuk mengundi kali pertama, sebagai anak muda sudah tentu saya bercita-cita mahu melihat sebuah negara yang aman sejahtera, serta pemimpinnya bersih daripada rasuah, mengutamakan kebajikan rakyat serta berpolitik bukan untuk kepentingan sendiri.

“Sudah tentu antara ciri-ciri lain yang diingini ialah pemimpin yang memiliki ciri-ciri Islamik dan berpengetahun serta hebat memimpin,” ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.

Sementara itu, menurut  Nur Farah Shuhadah, 25, dari Kampung Pulau Duyong berkata, sebagai anak muda dirinya merasa teruja dan berdebar untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Saya tidak akan mengecualikan diri, mengundi ini penting untuk memilih pemimpin yang baik kepada negara, mengambil sikap tidak mengeluar mengundi akan mengakibatkkan negara akan diperintah oleh pemimpin tidak bertanggungjawab.

“Saya beserta rakan-rakan telah membuat pendirian, akan undi parti atau gabungan yang tidak terpalit dengan sebarang isu salah laku.

“Ini penting bagi membolehkan dasar kerajaan berjalan baik, tidak diseleweng untuk agenda peribadi dan sebagainya, malah pelabur luar juga akan yakin dengan negara jika unsur rasuah tiada, bila semuanya baik maka negara akan stabil,” katanya.

Bagi, Wan Aminuddin Wan Omar, 25 dari Kuala Ibai pula berkata, dia sudah tidak sabar untuk keluar mengundi.

Katanya, dirinya dan kawan-kawan sudah mempunyai parti untuk diundi pada 19 November ini.

“Ketika negara sedang menghadapi wabak pandemik Covid-19 yang begitu serius, kita lihat kepimpinan semua parti diuji, dan dari situ kami menilai pemimpin mana yang baik, pemimpin yang tidak meletakkan agenda peribadi sebagai keutamaan kami pilih.

“Pemimpin yang dipilih juga adalah yang akan mendidik dan membawa rakyat bukan untuk semata-mata kesenangan dan kesejahteraan hidup di dunia, tetapi juga untuk kehidupan di akhirat kelak,” jelasnya.

Menurut Farah Hanani Shafie, 23, dari Kampung Binjai Kertas Hulu Terengganu pula, anak muda menjadi generasi yang akan menentukan masa hadapan negara.

“Oleh itu jangan tersilap langkah, lakukan pemilihan yang tepat, pilih pemimpin yang faham agama agar negara tidak berada dalam keadaan huru hara, jangan pilih pemimpin yang terlibat rasuah.

“Saya sangat bersedia untuk menjalankan tanggungjawab mengundi, dan pilihan saya sudah ada,” ujarnya.