KUALA TERENGGANU – Pengundi awal yang akan menunaikan tanggungjawab pada Selasa (esok) diharap membuat keputusan tepat demi menentukan masa depan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15.
Calon PAS Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta polis bersama pasangan masing-masing perlu membuat pertimbangan sewajarnya dengan bijak sebelum memilih calon.
“Esok adalah hari mengundi awal. Dalam DUN Alur Limbat terdapat lebih daripada 100 pengundi awal, saya mendoakan pengundi-pengudi awal kita dapat buat pilihan yang terbaik tanpa takut kepada sesiapa.
“Fikirkan sejenak apa yang berlaku dalam negara dan negeri kita, saya yakin sahabat-sahabat semua bijak pandai dan tahu untuk buat pemilihan yang sebaiknya,” ujarnya.
Katanya, PRU (DUN) Ke-15 amat penting bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang mampan, berkebajikan, stabil dan bersih.
“Untuk itu, kita semua perlu memilih pemimpin dan parti yang benar-benar dapat bekerja buat rakyat dan negeri ini,” ujarnya.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRU (DUN) Ke-15 membabitkan enam negeri dan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 29 Julai lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos.