Home Berita PAS Terengganu

Pengumuman tentang T15 buat rakyat terpinga-pinga

30
SHARE

KUALA LUMPUR – Pengelasan Kerajaan Persekutuan terhadap kelompok T15 sebagai golongan maha kaya yang wajar ditarik subsidi membuatkan rakyat terpinga-pinga.

Berdasarkan data pendapatan isi rumah daripada Jabatan Perangkaan Malaysia setakat 2022, kelompok T15 di Malaysia bermula dengan jumlah RM13,295 dan ke atas.

Ahli Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kebanyakan rakyat terkeliru apabila pengumuman tentang golongan terbabit tidak diperincikan dengan jelas.

“Perkara ‘threshold’ seperti ini wajar ditentukan lebih awal dengan cermat dalam merangka sesuatu Bajet dan bukannya disesuaikan definisinya apabila sedar kelompok ini bukanlah ‘maha kaya’.

“Apa pun, alhamdulillah, kerana kerajaan bersifat responsif dalam hal ini untuk menentukan ‘threshold’ baharu kelompok ini (golongan maha kaya), sebagaimana yang dilaporkan oleh media pada hari semalam sebagai T10.

“Walaupun begitu, kerajaan juga masih mesti bersifat adil kepada mereka, kerana nanti golongan ini bertanya, ‘motivasi dan perkhidmatan apa yang kami dapat dengan membayar cukai paling banyak ini?,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab terhadap semua peringkat dan golongan rakyat tanpa mengira latar belakang mereka.

“Walau apa agama, kaum, tua atau muda, miskin atau kaya sekalipun, mereka ada hak yang wajar ditunaikan oleh negara kepada mereka dan sebaliknya.

“Oleh yang demikian, dalam usaha menambah sumber kewangan negara demi pembangunan ekonomi dan sosial, kerajaan mestilah cermat dan berhati-hati, agar dalam masa yang sama, ia turut mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh rakyat dan turut berlaku adil kepada semua,” kata beliau.