Oleh: RR
KUALA TERENGGANU – Pengumuman kebajikan terbaharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hanya satu strategi politik populis yang tidak menyelesaikan masalah asas rakyat seperti kos sara hidup, pengangguran dan ketidaktentuan ekonomi negara.
Ketua Penerangan PAS Kawasan Marang, Mohamad Aswadi Mohamad berkata, kenyataan mengejut Anwar itu dilihat sebagai gimik politik untuk menutup kelemahan kerajaan dalam menangani isu yang semakin membebankan rakyat.
“Dengan tiba-tiba PMX buat pengumuman seolah-olah sedang membina naratif untuk ‘solekan politik’ agar nampak berkebajikan, sedangkan rakyat kini semakin marah dan kecewa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau turut menyifatkan Perdana Menteri sebagai “pakar jual air liur” kerana banyak janji sebelum ini masih belum ditunaikan, termasuk berkaitan reformasi institusi dan pemulihan ekonomi rakyat.
“Ini juga adalah modal kempen menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah. Rakyat sudah kenal siapa beliau, pakar gimik dan janji kosong,” tambahnya.
Oleh itu, kata beliau, rakyat yang kini semakin terdesak perlukan penyelesaian jangka panjang yang kekal tuntas, bukan hanya ‘gula-gula’, ubat bius meredakan kesakitan sementara, hanya sehari dua.
“langkah Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan tunai RM100 kepada individu berumur 18 tahun ke atas melalui program SARA, pengumuman cuti umum khas, peluasan Jualan Rahmah, penurunan harga RON95 dan kadar tol kekal, hanya umpama ‘Panadol’,
“rakyat makin terhimpit dan inginkan pengumuman yang lebih ‘wow’.” tegas beliau
Justeru itu, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya di Terengganu, agar tidak mudah terpedaya dengan retorik politik musiman, kerajaan ‘Cikgu dan anak murid’.