KUALA TERENGGANU – Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Unit Penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Besut akan melakukan pemantauan berkala bagi memastikan tiada sebarang perbuatan khurafat berlaku di kawasan kubur arwah Nurly Shahirah Azman, mangsa bahas bas pelajar UPSI.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan JHEAT, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, pemantauan itu adalah sebahagian daripada usaha mengekang sebarang aktiviti yang bercanggah dengan hukum syarak di kawasan tanah perkuburan.
Menurutnya, pihaknya memberi amaran tegas bahawa mana-mana individu yang didapati melakukan perbuatan khurafat akan dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.
“Seksyen 3A – Perbomohan dan Sihir memperuntukkan bahawa mana-mana individu atau pusat rawatan yang melakukan atau menjalankan amalan perbomohan, sihir, atau apa-apa perbuatan bercanggah dengan hukum syarak boleh dikenakan hukuman jika disabitkan kesalahan.
“Hukuman itu meliputi denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran oleh kenalan ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Nazrul, yang meluahkan rasa kecewa dan terkilan apabila segelintir individu mengambil kesempatan melakukan amalan khurafat ketika menziarahi kubur arwah Nurly.
Antara perbuatan yang dikesali termasuk tindakan individu tertentu yang mengambil tanah dari kubur arwah, kononnya untuk membantu menyelesaikan urusan kehidupan mereka.
Dalam satu hantaran berasingan, Ahmad Nazrul memaklumkan bahawa tali penghadang telah dipasang mengelilingi kubur arwah sebagai inisiatif ahli keluarga bagi mengelakkan kawasan tersebut dicemari dengan unsur syirik dan khurafat.
Dalam pada itu, wakil keluarga Allahyarhamah Nurly memaklumkan bahawa mereka hanya menerima kunjungan tetamu dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari, dan tidak akan menerima sebarang kunjungan pada 2 hingga 5 Julai atas sebab-sebab tertentu.