Alhamdulillah, marilah kita panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya, kita sekali lagi diberikan peluang untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, hari yang penuh berkat dan pengajaran bagi umat Islam seluruh dunia.
Hari Raya Aidiladha bukan sekadar perayaan, tetapi ia adalah simbolik kepada ketaatan dan pengorbanan agung Nabi Ibrahim A.S dan Nabi Ismail A.S dalam memenuhi perintah Allah SWT. Nilai pengorbanan ini wajib dijadikan pedoman dalam kehidupan seharian umat Islam, khususnya dalam memperjuangkan kebenaran dan keadilan dalam masyarakat.
Bagi pihak Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Wilayah Persekutuan, agar menjadikan Aidiladha sebagai satu medan muhasabah untuk memperkukuh perpaduan ummah, mengukuhkan institusi kekeluargaan, dan menyemarakkan semangat tolong-menolong sesama insan.
Dalam suasana negara yang berdepan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan sosial, semangat pengorbanan perlu dizahirkan dengan tindakan yang membina – sama ada dalam bentuk khidmat masyarakat, sumbangan kepada golongan yang memerlukan, mahupun kesatuan dalam memperjuangkan dasar-dasar Islam secara berhikmah dan matang.
PAS Wilayah Persekutuan juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua petugas, sukarelawan, serta pihak pengurusan ibadah korban yang bertungkus lumus menjayakan program korban di masjid-masjid dan surau-surau seluruh wilayah ini. Semoga segala usaha dan pengorbanan yang dicurahkan menjadi amal soleh di sisi Allah SWT.
Akhir kata, Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1446H kepada semua warga Wilayah Persekutuan dan rakyat Malaysia umumnya. Marilah kita hayati erti pengorbanan sebenar demi masa depan ummah yang lebih cemerlang, berkat dan dirahmati Allah SWT.
“Islam Memimpin, Rakyat Sejahtera”
Sekian, terima kasih.
USTAZ HAJI AZHAR BIN YAHYA
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan