Home Berita PAS Perak

Pengorbanan pasukan kempen Teluk Intan dihargai

205
SHARE

Oleh : Siti Aseelah Mohd Noor

Teluk Intan, 8 Disember : Dewan Muslimat Teluk Intan meraikan kesyukuran dengan kemenangan DUN Changkat Jong bersama petugas jentera Pilihanraya PRU 15 bertempat di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) di sini, kelmarin.

Setelah sekian lama tidak mengenakan pakaian serba hijau, muslimat kelihatan ceria bertemu mesra sesama rakan dalam program jam 5 petang itu.

Manisnya kejayaan ini diimbas dari sudut pengorbanan 3 jentera penggerak Muslimat dengan wujudnya ‘grup whatsup’ Pasukan Kempen Teluk Intan terdiri dari As-Sabiqat, Guru-guru PASTI dan AJK Dewan itu sendiri.

Tanpa penat lelah, mereka telah mula bergerak kerja selama lebih kurang 45 hari seawal pembubaran kerajaan sehinggalah tamat sesi pengundian.

Kesabaran perlu ditanam bagi mengekalkan kemenangan seterusnya memperkukuh ikatan setelah diberikan kepercayaan oleh rakyat.

“Jangan nafikan peranan setiap daripada kita. Walaupun hanya sekadar menghantar kumpulan ‘Whatsapp’ kawan-kawan atau sesiapa sahaja,” kata Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Mohd Azhar Mohd Rafaei ketika berucap di awal program tersebut.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Changkat Jong, Yang Berhormat, Naziruddin Mohd Bandi berdoa agar dikurniakan kesihatan yang berterusan serta mengucapkan terima kasih kepada semua petugas muslimat yang membantu sehingga berjaya memenangkan DUN ini.

Acara penyerahan cenderamata diberikan kepada 80 petugas terlibat seterusnya melancarkan ‘Tabung Sedekah Subuh’ bagi persediaan menghadapi PRU 16 nanti.

Turut hadir, Setiausaha PAS Teluk Intan, Mohd Farid Mohd Saad, Ketua Muslimat, Robiaton Mohd Abas,Timbalan Ketua Muslimat, Hamisah Abas dan ahli jawatankuasa yang lain.