Home Berita PAS Perlis

Penglibatan Guru PASTI Semarakkan Kesedaran Islam

1062
SHARE

Oleh: Muhammad Hadi

KANGAR : Penglibatan guru-guru PASTI dalam melaksanakan tugas-tugas dakwah telah mencetuskan kesan positif terhadap kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat.

Demikian dijelaskan Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd. Shukri Ramli ketika berucap di hadapan para guru PASTI sempena Sambutan Hari Guru PASTI Kawasan Arau baru-baru ini.

Beliau yang juga ADUN Sanglang berkata, meskipun dibebani dengan tugas mendidik, komitmen mereka dalam membantu PAS menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat amatlah dihargai dan wajar diberikan pujian.

Ujarnya lagi, kesan daripada itu, kesedaran masyarakat terhadap Islam semakin meningkat di samping masyarakat mula memahami akan perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

Tambah beliau, ini terbukti apabila sokongan rakyat kepada PAS menunjukkan peningkatan yang ketara dalam PRU 14 baru-baru ini.

Justeru beliau berharap agar komitmen yang ditunjukkan ini dapat diteruskan manakala para guru PASTI dapat terus istiqamah bersama-sama dengan PAS.

“Insya Allah jika penglibatan guru PASTI ini berterusan sepanjang masa, selain daripada mendidik anak-anak kita menjadi generasi al-Quran, perkembangan ini (kesedaran Islam dalam kalangan masyarakat) akan lebih baik.

“Oleh yang demikian, kerja-kerja dakwah yang kita laksanakan selama ini perlulah diteruskan bagi menjelaskan kepada masyarakat akan Islam yang kita bawa.

“Kita juga berharap supaya penglibatan guru-guru PASTI dalam kerja-kerja dakwah akan terus cemerlang bersama jemaah Islam PAS.”