KUALA TERENGGANU – Sambutan Maal Hijrah setiap tahun mengangkat sebuah peristiwa agung dalam sejarah Islam yang wajar dihayati secara menyeluruh oleh umat Islam.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penghijrahan Rasulullah SAW bukan sekadar peristiwa fizikal semata-mata, tetapi membawa misi besar dalam membina tamadun yang gemilang berasaskan syiar Islam.
“Peristiwa hijrah mengajar kita bahawa perubahan besar tidak berlaku dengan kekuatan fizikal sahaja, tetapi menuntut kesabaran, strategi, kebijaksanaan serta keimanan yang mendalam.
“Rasulullah SAW dan para sahabat berhijrah bukan kerana kelemahan, tetapi kerana visi yang jelas untuk membina tamadun yang berteraskan tauhid dan keadilan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1447H yang berlangsung di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan mencemar duli berangkat ke majlis berkenaan.
Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu itu turut diiringi Yang Amat Mulia Tengku Seri Setia Mahkota Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Yang di-Pertuan Muda Terengganu turut berkenan mengurniakan hadiah dan anugerah kepada pemenang-pemenang dan tokoh-tokoh sempena Maal Hijrah bagi tahun ini.