Home Berita PAS Pusat

Pengenalan : Dunia Islam Masakini.

570
SHARE


SERAMBI DUNIA ISLAM (1)
PENGENALAN : DUNIA ISLAM MASAKINI.


Semenjak Islam di turunkan oleh Allah SWT sebagai panduan dan cara hidup bagi seluruh umat manusia, Islam berkembang pesat terutamanya sejak penubuhan kerajaan Islam yang pertama berpusat di Madinah Al Munawwarah. Bermula dari itu, Islam terus berkembang di seluruh dunia meliputi Asia, Eropah mahupun di benua Amerika.

Dunia Islam bermaksud tempat-tempat yang dihuni atau diperintah oleh umat Islam dan perkembangannya yang berlaku semenjak dari zaman Rasulullah S.A.W sehinggalah ke hari ini samada dari sudut politik, ekonomi dan sosial.

Ia juga membawa erti tempat bermulanya atau bertapaknya ketamadunan Islam, perkembangannya berserta evolusinya yang memberi kesan ataupun pengaruh kepada masyarakat setempat, sosio budaya dan cara hidup yang bernaung di bawah ajaran agama Islam.

Dalam konteks hari ini, maksud Dunia Islam adalah lebih universal ataupun menyeluruh. Ia tidak hanya seperti apa yang telah di sebutkan sebelum ini tetapi ia juga meliputi isu-isu yang bersangkutan dengan umat Islam dan tanah airnya seperti penjajahan dan kezaliman ke atas Palestin dan rakyatnya, isu Kashmir dan juga isu komuniti minoriti umat Islam yang tinggal di negara-negara bukan Islam seperti di India, Sri Lanka, China, benua Eropah, benua Amerika dan lain-lain lagi.

Realiti Dunia Islam telah melalui perubahan yang begitu drastik dan cepat sejak dari zaman permulaan Islam iaitu dari zaman Rasulullah S.A.W sehinggalah ke hari ini. Mekah menjadi titik permulaan perkembangan Islam sehinggalah negara Islam pertama ditegakkan di Madinah Al-Munawwarah. Maka seterusnya berkembanglah Dunia Islam di zaman kerajaan Islam Umayyah, Abbasiyah, Mamalik dan Uthmaniyyah.

Ketika wafatnya Rasullah S.A.W, Dunia Islam bertapak serta berkembang meliputi keseluruhan wilayah Semenanjung Arab yang hari ini ialah Arab Saudi, Yaman, Bahrain, Oman, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu ( UAE ).

Pembukaaan Islam Bukan Empayar Islam
Seringkali istilah yang kita dengar berkenaan Dunia Islam adalah disandarkan kepada istilah Empayar Islam. Perlu ditekan di sini bahawa istilah sebenar yang bertepatan dengan nas-nas syara’ ialah pembukaan Islam ( Al-Futuhaat al-Islamiyyah ). Terdapat perbezaan yang sangat besar antara Istilah Imperialisma dan Al-Futuhaat. Imperialisma bermaksud penjajahan dan penaklukan dengan kekerasan tanpa keizinan empunya tanah air sebagaimana yang berlaku dalam sejarah lampau dan moden.

Contohnya empayar British yang menakluk sebegitu luas bumi ini sehingga masyhur dengan ungkapan, empayar di mana matahari terbit. British menakluk atau menjajah negara-negara di serata dunia dengan kekerasan dan merompak hasil mahsulnya dengan begitu rakus tanpa memperdulikan nasib rakyat atau masa depan negara – negara tersebut.

Berbeza dengan tempat-tempat yang dibuka oleh Islam atau di asaskan tamaddun Islam yang kebanyakannya bukan dengan cara peperangan ataupun penjajahan tetapi dengan cara damai melalui kebijaksanaan dakwah. Contoh yang paling jelas ialah dunia Nusantara yang dihuni oleh majoriti umat Islam pada hari ini, ianya dibuka oleh pendakwah-pendakwah Islam yang berjaya mengislamkan Raja-Raja dan masyarakatnya melalui akhlak, cara hidup dan tauladan baik yang dipamerkan oleh mereka.

Dunia Islam Satu Sorotan Sejarah
Dunia Islam di zaman Khalifah Abu Bakar r.a tidak banyak berbeza dengan zaman Rasulullah S.A.W kerana kekalutan yang berlaku selepas wafatnya Rasulullah S.A.W. Walaupun tempoh pemerintahan Saidina Abu Bakar r.a. hanya dua tahun tiga bulan sahaja tetapi ia telah memberi impak yang besar kerana beliau telah berjaya menstabilkan Dunia Islam dari gerakan riddah di kalangan kabilah-kabilah Arab samada mereka yang mengikut nabi-nabi palsu seperti Musailamah Al-Kazzab ataupun golongan yang engan membayar zakat kepada negara Islam dengan alasan mereka hanya membayarnya pada masa hayat Rasulullah S.A.W sahaja, adapun selepas wafatnya baginda mereka enggan lagi membayar zakat.

Selepas kematian Saidina Abu Bakar r.a., tampuk pemerintahan Kerajaan Islam digalas pula oleh Saidina Umar Al-Khattab r.a. yang telah membawa banyak perubahan yang efektif dan besar dalam perkembangan Dunia Islam yang begitu pesat. Saidina Umar r.a. mengambil tampuk pemerintahan dalam keadaan Kerajaan Islam begitu stabil, maka ia memberi peluang kepada beliau untuk menyebarkan Islam dengan begitu cepat dan meluas. Dalam tempoh 16 tahun pemerintahannya, Dunia Islam berkembang pesat sehingga ke Iraq, Mesir, dan Syam yang hari ini dikenali Palestin, Syria, Jordan, Lubnan.

Adapun di zaman Saidina Uthman bin Affan r.a dan Saidina Ali bin Abi Talib r.a., tidak banyak perubahan yang berlaku dari sudut perkembangan keluasan Dunia Islam oleh kerana pada zaman tersebut, mereka berdepan dengan cabaran yang amat besar terutamanya masalah-masalah dalaman yang berlaku sehingga mengakibatkan tercetusnya beberapa perang saudara yang mengorbankan ramai dari kalangan sahabat dan tabiin.

Zaman Khulafa al-Rasyidin adalah zaman emas kepada Dunia Islam sebagaimana yang dinyatakan sendiri oleh Rasulullah S.A.W dalam sabdanya yang bermaksud:
“ Sebaik-baik kurun adalah kurunku kemudian selepas mereka dan kemudian selepas mereka”.

Dalam tempoh 40 tahun yang singkat ini perkembangan Dunia Islam begitu gemilang sehingga berjaya membuka bumi yang begitu luas setelah tumbangnya empayar Rom dan Parsi.

Setelah itu Dunia Islam diperintah oleh kerajaan-kerajaan Islam dengan pelbagai nama yang disandarkan kepada keluarga melalui sistem beraja yang berasaskan keturunan, bermula dari pemerintahan kerajaan Umayyah sehinggalah kerajaan Uthmaniyyah. Dalam tempoh lebih 1300 tahun ini, satu pertiga dunia telah diperintah oleh sistem Islam dari pelbagai kerajaan Islam yang wujud. Sebelum kejatuhan kerajaan Islam Uthmaniyyah yang berpusat di Turki, Dunia Islam telah sampai sehingga ke utara wilayah Asia Tengah dan di selatan Afrika Tengah. Adapun di sebelah Barat, Dunia Islam telah sampai ke selatan Perancis dan Balkan dan di sebelah Timur pula ia telah melebar hingga sampai ke gugusan kepulauan Melayu Nusantara.

Di zaman kegemilangan Islam Dunia Islam, ia kukuh bertapak di bawah satu bumbung walaupun berbeza kaum, bangsa dan kabilah. Namun pada hari ini, Dunia Islam telah dipecah-pecahkan kepada 57 buah negara yang bernaung dibawah Pertubuhan Negara Islam atau OIC. Jumlah umat Islam pula kini mencecah hampir 1.8 bilion orang di seluruh dunia.

Kedudukan Strategik Dunia Islam
Allah menjadikan Dunia Islam berada di tempat yang paling strategik di peta dunia samada melalui jalan laut mahupun darat. Laluan sutera yang menjadi laluan perdagangan utama antara dunia timur dan barat terletak di dalam Dunia Islam di Asia Tengah. Dari sudut hubungan timur dan barat pula, negara Turki menjadi pusat perhubungan utama yang menghubungkan di antara benua Eropah dan Asia.

Untuk jalan laut pula, Dunia Islam menjadi pintu utama di timur dan barat Lautan Hindi. Di timur terletaknya Selat Melaka dan di baratnya pula terletaknya Bab Al-Mandab. Manakala di timur Lautan Mediterranian terletaknya Terusan Suez dan di baratnya terletaknya Jabal Toriq atau Gibraltar yang menghubungkannya dengan Lautan Atlantik. Maka dengan ini Dunia Islam menjadi laluan utama kapal-kapal perdagangan samada dari Timur mahupun Barat yang melalui Laut Merah dengan menjadikannya di antara laluan utama kapal – kapal perdagangan dari seluruh dunia.

Dunia Islam, Dunia yang Kaya dengan Hasil.
Di samping kedudukannya yang strategik, dari sudut kekayaan hasil buminya pula Dunia Islam dikurniakan Allah SWT dengan hasil bumi yang begitu banyak seperti petroleum, bijih-bijih, kepelbagaian hasil bumi sehinggalah tanah-tanah yang subur untuk perladangan mahupun pertanian.

Sebahagian besar sumber petroleum dunia terletak di dalam Dunia Islam. Maka tidak hairanlah keanggotaan OPEC, iaitu kesatuan negara pengeluar minyak dunia di dominasi oleh Dunia Islam. Sumber petroleum yang berada di dalam Dunia Islam bermula di negara – negara Teluk, Iran, Iraq, negara – negara Afrika seperti Libya dan Algeria, negara-negara Asia Tengah, Indonesia dan Malaysia.

Kembalikan Kegemilangan Dunia Islam.

Dunia Islam sudah tidak seperti dahulu lagi seperti di zaman kegemilangannya. Dunia Islam sudah hampir malap atau pudar sinarnya samada akibat tindakan umat Islam itu sendiri atau terlalu terpesona dengan kelazatan dunia mahupun terpedaya oleh muslihat musuhnya.

Dunia Islam masakini harus mengambil iktibar di atas peristiwa mahupun sejarah masa lalu. Jika di kaji serta di teliti pada zaman kegemilangan Dunia Islam, perpaduan dan persefahaman memainkan peranan yang begitu penting dalam mengekalkan keutuhan dan kekuatan Dunia Islam. Tidak kira bangsa, kaum mahupun kabilah, samada miskin ataupun kaya, tua atau muda, keakraban dan perpaduan menjadi intipati utama di zaman kegemilangan Dunia Islam dengan menjadikan Islam itu sendiri sebagai tonggak kehidupan.

Apa yang kita lihat hari ini, Dunia Islam berpecah belah serta porak peranda. Islam sudah tidak lagi di jadikan paksi kehidupan di kalangan umat Islam itu sendiri. Akibatnya umat Islam hilang pedoman hidup serta berlaku keruntuhan moral dan akhlak yang cukup ketara. Kekayaan anugerah Allah SWT untuk Dunia Islam tidak di belanjakan sebaiknya malah merosakkan lagi nilai kehidupan akibat sikap tamak, sombong dan bongkak walau terhadap sesama Islam sendiri.

Maka apa yang kita lihat hari ini, walaupun Dunia Islam kaya dan mewah, mereka saling berbunuhan sesama sendiri akibat sikap tamak dan gila kuasa. OIC yang sepatutnya menjadi penghubung persaudaraan dan perpaduan di salah guna untuk kepentingan pihak tertentu yang berkepentingan tanpa memperdulikan nasib umat Islam yang lain.

Maka lihatlah apa yang terjadi hari ini di Palestin, Yaman, Syria, Iraq, Afghanistan dan di banyak tempat lagi di seluruh dunia. Islam di label sebagai pengganas, di bunuh, di jarah harta benda dan tanah air serta kekayaannya. Malah ada yang di halau keluar dari tanah air sendiri dan tidak kurang juga yang khianat kepada Dunia Islam akibat sifat tamak haloba dan gila kuasa. Sampai bilakah kita harus melihat perkara sebegini berlaku ataupun sudah sampai masanya kita mengubah nasib dan masa depan Dunia Islam agar kembali gemilang dan lebih baik daripada sekarang.

Sudah sampai masanya Dunia Islam kembali gemilang. Dengan kekayaaan hasil bumi dan kekuatan samada dari sudut politik mahupun ekonomi, Dunia Islam mampu bangkit dari kepudaran dan kemalapan yang di alaminya sekarang. Persengketaan hanya merugikan Dunia Islam malah mampu meranapkannya. Ambillah pengajaran daripada sejarah lampau dan jadikan perpaduan sebagai asas dan tonggak kebangkitan kembali Dunia Islam.

Dunia Islam mampu bangkit kembali dan gemilang. Dunia Islam mampu menjadi penyelamat dan payung kehidupan untuk seluruh umat manusia. Islam dan umatnya bukan pengganas. Islam agama kedamaian dan umatnya cintakan keamanan.

Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Pengerusi Lujnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat.
AJK PAS Pusat.
ADUN Batu Burok.