KEMAMAN – Terengganu kini semakin hampir menyaingi kawasan pengeluaran padi tertinggi negara apabila Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Bersepadu Terengganu Utara (IADA) KETARA di Besut berjaya mencapai purata 5.2 tan metrik sehektar, hanya sedikit di bawah rekod tertinggi nasional iaitu 5.6 tan metrik di Pulau Pinang.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata pencapaian ini menunjukkan potensi luar biasa sektor pertanian negeri yang sering dipandang kecil berbanding negeri pengeluar utama lain.
“5.2 ini sebenarnya angka yang tertinggi dalam negara selepas Pulau Pinang.
“Purata pengeluaran per hektar paling tinggi adalah 5.6 sahaja di IADA Pulau Pinang,” katanya ketika berucap di Program Ramah Mesra dan Dialog Kelompok Tani & Pesawah Padi, di Rumah Tani Kampung Dadong, di sini baru-baru ini.
Hadir sama, ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan Pegawai Daerah Kemaman, Ahmad Nazwawi Harun.
Menurutnya, walaupun keluasan sawah di Vietnam dan Thailand jauh lebih luas, masing-masing 7 juta dan 9 juta hektar, serta ditanam tiga kali setahun, pendekatan Terengganu tetap pragmatik demi menjaga kelestarian.
“Kita di sini nak buat Paya Dadong dan Paya Paman daripada satu kali setahun kepada dua kali setahun sahaja.
“Kita tidak berhasrat untuk jadikan tiga kali setahun kerana kita faham dengan risiko bencana banjir yang dihadapi di kawasan ini,” tambah beliau lagi.
Beliau menegaskan bahawa musim tengkujuh yang menjadikan sawah “bertukar menjadi laut” adalah faktor utama yang menghalang penanaman sepanjang tahun.
“Apabila monsun datang, semua orang kena berehat, tak boleh menanam,” ujarnya.