Oleh: Siti Aseelah Mohd Noor
Teluk Intan, 12 Julai : Pertubuhan Wanita Prihatin Teluk Intan (PERWATIN) telah selesai melaksanakan ibadah korban bertempat di Kompleks PAS Teluk Intan (KOMPASTI) di sini, semalam.
Sambutan Aidil Adha tahun ini amat bermakna kerana buat pertama kali, setelah setahun penubuhannya, PERWATIN dapat menyediakan daging korban kepada penerima bantuan bulanan yang disenaraikan.
“Sejarah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s tatkala datangnya perintah Allah untuk menyembelih anak baginda iaitu Nabi Ismail a.s perlu kita telusuri dan mengambil ibrah agar keinsafan dan ketaqwaan kita bertambah,” kata Timbalan Yang DiPertua PAS Teluk Intan, Rostam Malek yang hadir ketika menyampaikan daging korban kepada penerima terpilih.
Seawal jam 9 pagi lagi, seramai kira-kira 20 orang petugas telah bersedia melaksanakan tugasan, seterusnya diagihkan kepada hampir 100 orang penerima pada jam 11.30 pagi.
Pengerusi PERWATIN, Saadah Abas bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada para penyumbang lembu tersebut serta mendoakan barakah umur dan rezeki buat mereka.
Turut hadir, Ketua Muslimat, Robia’ton Mohd Abas, Timbalan Ketua Muslimat, Hamisah Abas, Timbalan Pengerusi PERWATIN, Robainah Ismail serta ahli jawatankuasa yang lain.