Home Berita PAS Terengganu

Penerima BPR dapat bayaran tunai tambahan

203
SHARE

PUTRAJAYA – Penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) akan mendapat bantuan tunai tambahan selepas kerajaan pusat memperuntukkan RM 2.1 bilion untuk inisiatif itu dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) Tambahan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia bagi memastikan kesejahteraan dan kelangsungan hidup golongan yang paling terkesan susulan penguatkuasaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang bermula esok sehingga 14 Jun.

Katanya, bagi kategori isi rumah yang berpendapatan di bawah RM2,500, mereka akan menerima kadar BPR tambahan sebanyak RM500 dan isi rumah berpendapatan antara RM2,501 hingga RM5,000, akan menerima RM300.

“Golongan bujang pula akan menerima RM100. BPR tambahan ini akan mula dimasukkan ke akaun penerima pada hujung bulan Jun nanti.

“Bayaran ini merupakan tambahan kepada fasa bayaran terakhir BPR bulan September kelak sebanyak RM2.4 bilion,” ujarnya.

Muhyiddin berkata demikian pada Perutusan Khas Perdana Menteri Bantuan PKP 3.0 di sini, malam ini.

Tambahnya lagi, beliau juga mendengar permintaan rakyat supaya Kerajaan menimbang semula pemberian moratorium.

Justeru itu katanya, hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.

“Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan PKS yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan.

“Mereka juga boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh enam bulan,” tambah beliau.

Katanya, inisiatif itu akan dilaksanakan pada bulan Jun yang dijangka memanfaatkan lebih dari lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion.