Home Minda Presiden

Penentuan bangsa menjadi ketua negara dan kekhilafan mazhab

92
SHARE

Minda Presiden PAS
[Bil: 108 / 2023]
PENENTUAN BANGSA MENJADI KETUA NEGARA DAN KEKHILAFAN MAZHAB


Tidak ada kekhilafan wajibnya pemimpin negara yang dilantik itu mestilah seorang Muslim yang beriman, budiman dan berilmu. Islam secara tegas mengharamkan kepimpinan bukan Islam menguasai sesebuah negara. Firman Allah SWT:

﴿لَّا يَتَّخِذِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ ٱلۡكَٰفِرِينَ أَوۡلِيَآءَ مِن دُونِ ٱلۡمُؤۡمِنِينَۖ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٰلِكَ فَلَيۡسَ مِنَ ٱللَّهِ فِي شَيۡءٍ إِلَّآ أَن تَتَّقُواْ مِنۡهُمۡ تُقَىٰةٗۗ وَيُحَذِّرُكُمُ ٱللَّهُ نَفۡسَهُۥۗ وَإِلَى ٱللَّهِ ٱلۡمَصِيرُ ٢٨﴾

“Janganlah orang-orang Mukmin mengambil orang-orang kafir menjadi wali dengan meninggalkan orang-orang Mukmin. Sesiapa yang berbuat demikian, nescaya terlepaslah dia daripada pertolongan Allah, kecuali kerana (siasat) memelihara diri daripada sesuatu yang ditakuti daripada mereka. Dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri-Nya (seksaan-Nya). Dan hanya kepada Allah tempat kamu kembali.” [Surah Ali ‘Imran: 28]

Walau bagaimanapun, ia dikecualikan dalam keadaan darurat kerana dijajah, namun hatinya tetap tidak reda dan terus berjuang untuk membebaskan diri.

Islam mewajibkan syarat bagi seorang pemimpin itu mestilah dalam kalangan seorang Muslim yang beriman dan budiman, iaitu seorang yang disebut dengan sifat ‘adalah (عدالة). Dengan maksud yang lain, seseorang itu tidak fasiq, berakhlak mulia, tidak mengerjakan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa kecil, serta menjaga maruah walaupun dalam perkara yang tidak berdosa.

Adapun seorang pemimpin yang berilmu pula, mereka mampu berijtihad dengan syarat-syarat ilmu Islam dan moral, sama ada secara bersendirian atau berjemaah. Pada masa yang sama, mempunyai kemampuan mengurus dan berhikmah dalam menghadapi cabaran semasa.

Adapun penentuan bangsa yang menjadi pemimpin berlaku kekhilafan, ekoran daripada tiga pencalonan nama ketua negara selepas kewafatan Rasulullah SAW yang perlu dilihat setiap satu hujahnya. Akhirnya, semua pihak yang mencalonkan nama-nama itu bersatu dengan hujah kuat yang dikemukakan ketika berlakunya mesyuarat di Saqifah Bani Sa‘idah selepas kewafatan Rasulullah SAW.

Sebahagian besar para sahabat RA meninggalkan pengebumian Rasulullah SAW selepas menunaikan solat jenazah untuk insan yang paling mulia itu. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya kewajipan memilih ketua negara berbanding mengebumikan jenazah Baginda yang paling mulia itu.

Dalam perhimpunan yang diadakan itu, telah dikemukakan tiga calon untuk dipilih menjadi Khalifah (ketua negara):

  1. Golongan Ansar mencalonkan Sa‘ad bin ‘Ubadah RA, pemimpin Khazraj.
  2. Golongan Ahli al-Bait (keluarga Rasulullah SAW) dan beberapa orang sahabat mencalonkan ‘Ali bin Abi Talib RA.
  3. Golongan Muhajirin mencalonkan Abu Bakar RA.

Hujah kalangan Ansar adalah berdasarkan kepada hadis umum yang mewajibkan mentaati sesiapa sahaja menjadi ketua, tanpa menentukan bangsa dan keturunannya asalkan dia merupakan seorang Muslim. Peranan kalangan Ansar mempertahankan Islam dan menyerah tanah air mereka menjadi pusat Kerajaan Islam.

Manakala hujah Ahli al-Bait pula kerana adanya hadis-hadis yang menunjukkan kelebihan ‘Ali bin Abi Talib KW yang merupakan anak angkat, menantu dan sepupu Rasulullah SAW.

Hujah kalangan Muhajirin pula kerana adanya hadis yang menyebut berkenaan keutamaan pemimpin daripada kalangan Quraisy kerana pengaruhnya dan Abu Bakar RA dicalonkan kerana peranan penting yang ditugaskan kepadanya oleh Rasulullah SAW, menjadi teman ketika hijrah, menjadi imam solat ketika keuzuran Rasulullah SAW, individu yang paling mempertahankan Rasullullah SAW ketika menghadapi cabaran dan pintar menghadapi keadaan yang mencabar seperti peristiwa Isra’ dan Mi‘raj, kewafatan Rasulullah SAW, peristiwa riddah dan lain-lain.

Akhirnya, semua para sahabat RA mendukung Abu Bakar RA sebagaimana yang dicadangkan oleh ‘Umar RA dan Abu ‘Ubaidah RA.

Semua para sahabat dalam kalangan Muhajirin, Ansar dan Ahli al-Bait bersama Abu Bakar RA menjadi para menteri, ahli mesyuarat, wali daerah, panglima tentera, hakim dan lain-lain jawatan yang penting.

Pemilihan ketua negara adalah berdasarkan kepada syura yang berlangsung sepanjang zaman Khulafa’ al-Rasyidin RA.

Apabila berlakunya perpecahan selepas zaman fitnah, ramainya pendatang baharu menjadi umat Islam, berlakunya perpecahan mazhab dalam fiqh politik Islam.

Pandangan yang menegaskan pelantikan pemimpin daripada kalangan kabilah Quraisy, dengan maksud seseorang pemimpin itu datang daripada kaum yang paling berpengaruh menjadi pegangan Mazhab Sunni.

Pandangan yang menegaskan pemimpin hendaklah dilantik daripada kalangan Ahli al-Bait telah melahirkan Mazhab Syiah.

Pandangan yang berpegang kepada pelantikan pemimpin daripada kalangan seorang Muslim tanpa mengira bangsa telah melahirkan Mazhab Khawarij.

Hujah golongan Syiah ditolak kerana hadis-hadis kelebihan ‘Ali bin Abi Talib RA adalah dari segi keperibadiannya, bukan suatu ketetapan untuk dicalonkan menjadi Khalifah. Begitu juga hadis yang menjadi hujah golongan Khawarij adalah umum mentaati ketua dalam semua jawatan, bukannya penentuan jawatan Khalifah (ketua negara).

Ibn Khaldun RH mentafsirkan secara panjang dalam kitab Muqaddimah berkenaan syarat berasal daripada kabilah Quraisy kerana perlunya seorang pemimpin itu dihormati kerana pengaruhnya dari segi dukungan kaum yang terbesar menganut Islam.

Al-Quran pula menghuraikan bahawa bangsa Arab tidak layak lagi memimpin, apabila mereka tidak berperanan mempertahankan Islam dengan harta dan jiwa raganya. Firman Allah SWT:

﴿هَـٰٓأَنتُمۡ هَـٰٓؤُلَآءِ تُدۡعَوۡنَ لِتُنفِقُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ فَمِنكُم مَّن يَبۡخَلُۖ وَمَن يَبۡخَلۡ فَإِنَّمَا يَبۡخَلُ عَن نَّفۡسِهِۦۚ وَٱللَّهُ ٱلۡغَنِيُّ وَأَنتُمُ ٱلۡفُقَرَآءُۚ وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم ٣٨﴾

“Ingatlah, kamu ini orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (hartamu) pada jalan Allah. Maka, antara kamu ada yang bakhil, dan sesiapa yang bakhil sesungguhnya dia hanyalah bakhil terhadap dirinya sendiri. Dan Allah jua yang Maha Kaya, sedangkan kamulah orang-orang yang berkehendak (kepada-Nya); dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu ini.” [Surah Muhammad: 38]

Maka, para ulama’ Mazhab Sunni menerima siapa sahaja yang layak dari segi ilmu dan akhlaknya yang datang daripada bangsa yang ramai menganut Islam.

(Semua perincian hujah-hujah di atas ada dinyatakan dalam kitab-kitab tafsir, syarah hadis dan siasah syar‘iyyah. Termasuk Muqaddimah Ibn Khaldun, Itmam al-Wafa fi Tarikh al-Khulafa’ dan lain-lain)

Pada zaman mutakhir, apabila wilayah Islam semakin meluas ke seluruh pelosok dunia, maka mana-mana wilayah yang penduduknya menganut Islam akan dilantik seorang pemimpin menjadi Khalifah atau Amir atau Sultan.

Rasulullah SAW juga mengekalkan raja-raja yang menganut Islam tanpa perlu diganti, dan mereka dibantu oleh para ulama’ dalam kalangan sahabat RA untuk memerintah negara dengan hukum Islam yang adil. Antaranya, mereka ialah Raja Oman dan Masqat, Raja Habsyah, raja-raja beberapa wilayah di Yaman dan lain-lain.

Sejarah kedatangan Islam di Nusantara juga menegakkan sebuah negara Islam yang dipimpin oleh para sultan yang meninggalkan agama bukan Islam kepada Islam. Kemudian, mereka dibantu oleh para ulama’ pendakwah yang mengislamkannya.

Islam yang berdaulat berjaya mengislamkan keseluruhan rakyat yang menerimanya tanpa paksaan dan berjaya menegakkan tamadunnya yang berjaya menegakkan negara yang berpengaruh. Sehinggakan, wilayah-wilayah itu menjadi kunjungan para pedagang serantau, dunia Islam dan lain-lain.

Kedatangan penjajah telah menghilangkan kedaulatan Islam, apabila mereka datang mengganas dengan merosakkan seluruh dunia. Perkara ini juga telah menimpa rantau ini.

Ideologi sekularisme yang mencipta ideologi berbagai-bagai ideologi selepasnya yang memusnahkan negara Barat, kini berjangkit pula di negara lain termasuk negara kita, walaupun penjajah sudah keluar dan kita dikatakan telah merdeka. Akan tetapi, pusaka ideologinya yang merosakkan masih diwarisi oleh kalangan yang menerima pusakanya dengan berbagai-bagai ideologi kiri dan kanan.

Kita bernasib baik apabila para pejuang kemerdekaan daripada kalangan Melayu Islam telah berjuang mempertahankan kedudukan Islam agar ia diletakkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kewajipan kita pula menterjemahkan Islam itu mengikut agama Islam yang sebenarnya mengikut  bahasa al-Quran dan menolak sekeras-kerasnya kalangan warisan penjajah yang mempertahankan kesesatan penjajah itu melalui parti politik yang nyata sekularnya atau liberal pragmatik yang munafik.

Menetapkan syarat dominasi bangsa yang menganut Islam tidak bermakna fanatik perkauman kerana Islam dikawal oleh aqidah atau iman yang mewajibkan berlaku adil kepada semua. Firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨﴾

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan segala perkara amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil. Sesungguhnya, Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya, Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” [Surah al-Nisa’: 58]

Ditafsirkan oleh hadis bahawa amanah terbesar ialah amanah memilih ketua negara.

Firman Allah SWT:

﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُونُواْ قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِٱلۡقِسۡطِۖ وَلَا يَجۡرِمَنَّكُمۡ شَنَـَٔانُ قَوۡمٍ عَلَىٰٓ أَلَّا تَعۡدِلُواْۚ ٱعۡدِلُواْ هُوَ أَقۡرَبُ لِلتَّقۡوَىٰۖ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَۚ إِنَّ ٱللَّهَ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ ٨﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” [Surah al-Ma’idah: 8]

Hanya Islam sahaja yang mampu menangani masyarakat majmuk dengan kenyataan firman Allah SWT:

﴿…وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١﴾

“Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain menentangnya, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma‘ruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” [Surah al-Hajj: 40-41]

Konsep tiada paksaan beragama dan adil kepada semua menjadikan Melayu Islam berjaya memimpin masyarakat majmuk dalam sejarahnya, dan sehingga kini kesannya masih dihayati di Malaysia dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam.

Kenyataan Parti Tindakan Demokratik (DAP) untuk mengambil alih kepimpinan Melayu Islam adalah provokasi yang merosakkan hubungan kaum yang terjalin dan makin terancam dengan sebab beberapa kenyataan politik yang menjurus ke arahnya, seperti cadangan diadakan Pilihan Raya PBT, peranan medianya menyokong orang Melayu murtad dan menghalang sesiapa yang mahu memeluk Islam serta mencabar undang-undang syariat yang telah dimusnahkan oleh penjajah dahulu dengan cara yang halus tetapi dapat dilihat dengan nyata.

Keadaan ini laksana pepatah yang menyebutkan burung unta yang menyelamatkan diri, menyembunyikan kepalanya yang kecil ke dalam pasir dalam keadaan badannya yang besar dapat dilihat dengan nyata. Hanya orang-orang Melayu yang bodoh sahaja kabur fikirannya dan kelabu pandangannya masih tidak memahami politik DAP dan rakan-rakannya.

PAS mendukung perpaduan rakyat Melayu Islam, bumiputera dan bukan Islam yang tidak ekstrem. Dalam pada itu, menolak DAP dan sekutunya yang menegakkan sekularisme dan liberal pragmatik yang sesat serta merosakkan negara.

ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS
Bertarikh: 9 Jumada al-Akhirah 1445 / 22 Disember 2023