Home Berita PAS Perlis

Penemuan lumba-lumba, yu paus di perairan Perlis

638
SHARE

Oleh MUHAMMAD HADI

KANGAR, 7 Sept: Penemuan beberapa spesis ikan lumba-lumba dan yu paus di perairan negeri ini sejak beberapa hari lalu terus mendapat perhatian pelbagai pihak.

Semalam, seekor ikan dari spesis Yu Paus (Rhincodon typus) yang dianggarkan seberat lima tan metrik ditemukan di perairan Kuala Perlis pada jarak enam batu nautika dari Pantai Kuala Sungai Baru di sini.

Ikan yang beratnya dikatakan boleh mencecah 15 tan metrik itu, merupakan spesies yang jarang-jarang dijumpai di perairan negeri dan ditemukan oleh salah seorang pengasas Perlis Nature and Wildlife (PNW), Khairul Anuar Abas, 31, ketika sedang melakukan rondaan di perairan sekitar pukul 2 petang.

Turut ditemui pada hari yang sama, seekor ikan lumba-lumba jenis Irrawaddy seberat kira-kira 150 kilogram dengan panjang 2.5 meter yang ditemui mati terdampar di tepi laut berhampiran Kampung Sungai Berembang.

PNW sebelum itu, turut mengesahkan mereka telah merekodkan beberapa kes penemuan ikan lumba-lumba di beberapa lokasi di negeri ini sepanjang minggu lalu.

Antaranya, penemuan dua ekor ikan lumba-lumba dari keluarga Kogia yang terdampar dan telah diselamatkan nelayan di pantai Kuala Sungai Baru serta bangkai ikan lumba-lumba tikus (Finless Porpoise) pada 3 September lalu.

Sementara itu, menerusi satu hantaran di laman Facebook rasmi semalam, PNW menjelaskan mereka telah mengadakan kerjasama dengan beberapa pihak, antaranya Marine Mammal Conservation (MareCet) dan Jabatan Perikanan Negeri Perlis dalam usaha mengumpul data berkenaan fenomena ini.

Mereka turut menyeru orang ramai agar melaporkan kepada pihak berwajib sebarang penemuan ikan lumba-lumba dan paus di negeri ini.