Home Berita PAS Pahang

Penduduk Kuala Tahan tampil bantah aktiviti arak, dadah, judi

854
SHARE

 

Rimas dan resah dengan aktiviti penjualan arak, penyalahgunaan dadah dan judi online yang kian semakin berleluasa, penduduk Kampung Kuala Tahan, Jerantut bertindak mengadakan bantahan.

 

Bantahan aman tersebut diadakan seusai solat Jumaat baru-baru ini di masjid kampung berkenaan, setelah penduduk merasakan kegiatan tidak bermoral yang menular sejak beberapa tahun lalu itu semakin menghantui penduduk kampung.

 

Ia juga bagi mengelak lebih ramai golongan muda yang terjebak dengan gejala sosial,

 

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan, Mohamad Baki Awang Ngah berkata, pihaknya melakukan bantahan ekoran tidak senang duduk dengan senario pada masa ini apatah lagi kampung mereka merupakan pintu masuk ke Taman Negara.

 

Katanya, terdapat beberapa premis yang terlibat dan kami mahu pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik yang bukan beragama Islam itu.

 

“Hampir 90 peratus penduduk di sini beragama Islam jadi kami tidak mahu ketiga-tiga gejala ini merosakkan akidah penduduk,” jelasnya.

 

Menurutnya, ramai pelancong datang setiap tahun terutama dari luar negara dan gejala tersebut akan merosakkan nama baik Taman Negara Kuala Tahan sekiranya premis terbabit dibiarkan terus beroperasi.

 

“Kami sebulat suara membantah sekeras-kerasnya aktiviti yang tidak bermoral dan semua pihak harus selamatkan pusat pelancongan ini daripada segala gejala negatif,” tambahnya.