KUALA TERENGGANU – Susulan peningkatan paras air ekoran hujan berterusan, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap telah dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas.
ADUN Langkap, Azmi Maarof berkata, beliau memaklumkan jumlah semasa mangsa di tiga PPS di DUN tersebut.
“PPS SMK Langkap, 20 keluarga, 71 mangsa, PPS Sekolah Kebangsaan Batu 29, 19 keluarga, 65 mangsa dan PPS Masjid Chalok Kedai, dua keluarga, lima mangsa,” jelasnya ketika dihubungi hari ini.

Justeru itu, beliau menyeru semua penduduk di kawasan rendah dan berisiko supaya sentiasa berwaspada serta mengikuti arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Penduduk dinasihatkan mula mengemas dokumen penting, mendapatkan maklumat terkini daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat dan mematuhi arahan Jawatankuasa Bencana Daerah jika diarahkan berpindah,” katanya.
Azmi turut menekankan kepentingan keselamatan terutama melibatkan kanak-kanak.
“Jangan biarkan anak-anak bermain air kerana keadaan berarus deras sangat berbahaya. Berpindahlah lebih awal untuk mengelakkan risiko,” jelasnya.
Beliau menegaskan pihaknya akan terus memantau situasi dan memastikan bantuan diberikan dengan segera kepada semua mangsa terlibat.
Sementara itu, beliau menambah Jalan Lubuk Panjang-Telaga Papan ditutup buat semua kenderaan ringan.
Manakala Jalan Kampung Merbau Menyusut-Pelong ditutup buat semua kenderaan ringan.





