Home Artikel PAS Wilayah

Penduduk Bimbang Hakisan Tebing Sungai

265
SHARE

Oleh : Wan Syahirah Wan Jafri

WANGSA MAJU : Penduduk Kampung Puah, dekat sini, resah dengan hakisan di tebing Sungai Gombak yang dilihat boleh menyebabkan keselamatan mereka terancam, terutama ketika hujan lebat.

Timbalan Pengerusi Majlis Persatuan Penduduk Zon Wangsa Maju (MPPWM) yang juga Yang Dipertua PAS Wangsa Maju, Ustaz Abdul Rani Mohamed Daud telah membuat tinjauan pada 26 Oktober lalu dan mendapati tebing sungai berkenaan runtuh dan boleh menyebabkan laluan penjalan kaki beberapa buah rumah terputus pada bila-bila masa jika berlaku hujan lebat.

Hajjah Norin, 55, yang rumahnya paling terjejas kerana terletak paling hampir dengan tebing berkenaan berkata jarak antara tebing sungai ke laluan utama dahulu lebih 10 meter tetapi kini hanya tinggal kira-kira satu meter sahaja.

“Lebih membimbangkan, hakisan tebing sungai berkenaan semakin menghampiri rumah sejak beberapa bulan lalu akibat dinding batu sangkar yang ada telah runtuh akibat limpahan air sungai ketika hujan lebat,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, isu ini bermula sejak Oktober tahun lalu dan dinding batu sangkar telah diletakkan untuk mengatasi masalah berkenaan, namun dengan runtuhnya batu sangkar berkenaan, masalah ini semakin berlarutan.

Wakil Majlis Persatuan Penduduk Sub Zon 4 Wilayah Persekutuan, Haji Sulaiman Ismail berkata perkara itu sudah diajukan kepada Pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cawangan Wangsa Maju dan Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan (JPS WP).

Beliau memaklumkan bahawa JPS WP akan bekerjasama dengan DBKL untuk melaksanakan projek pembaikpulihan di kawasan berkenaan secepat yang mungkin.

Turut hadir dalam lawatan tapak tersebut ialah Pengurus Pejabat DBKL Cawangan Wangsa Maju, Encik Ibnu Sina, Pengerusi MPPWP Sub Zon 4, Dato’ Razak, AJK MPPWP Sub Zon 4, Haji Sulaiman Ismail dan Pegawai JPS, Alizul.

Wakil DBKL dan JPS WP

MPPWM turut berkesempatan menyampaikan sumbangan kepada Hajjah Norin yang diterima oleh wakilnya, Muhammad Hakim untuk menampung kos kerugian akibat rumah beliau yang terjejas teruk oleh hakisan tersebut.