Home Berita PAS Terengganu

Pendidikan Rabbani Perlu Jadi Teras Dasar Negara

6
SHARE

KUALA NERUS – Pendidikan berteraskan nilai Rabbani perlu dijadikan teras utama dalam dasar pendidikan negara bagi membina generasi berakhlak, berilmu dan sejahtera dunia akhirat.

AJK Lajnah Pendidikan PAS Pusat Dr Mohd Huzairi bin Husain berkata, konsep pendidikan ini merupakan pendekatan menyeluruh yang bukan sahaja memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga pembinaan jati diri, akhlak, dan spiritual berlandaskan iman, Islam serta ihsan.

“Dalam pembentangan, ditekankan bahawa pendidikan ialah jantung perjuangan PAS, menjadi wasilah membina aqidah, syakhsiyah, ilmu, dan amal umat.

“Konsep Pendidikan Kaffah Rabbani diperkenalkan sebagai usaha holistik berteraskan iman, Islam, dan ihsan, bagi melahirkan generasi soleh, pintar, berakhlak mulia, berintegriti serta menguasai teknologi semasa.

“Antara cabaran semasa yang disentuh termasuk dominasi kurikulum yang terlalu menekankan peperiksaan, STEM, dan ekonomi sehingga nilai keagamaan terpinggir,” jelasnya.


Beliau berkata demikian dalam program Ijtima’ Murabbi Pendidikan PAS Terengganu 1.0 yang berlangsung di Kompleks Tarbiyyah At-Taqwa (Komtaq) di sini,pada Sabtu.

Sebagai alternatif, dasar seperti Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan dan strategi SG4 diperkenalkan untuk menyelaras dasar, memperkasa sekolah tahfiz dan pondok dan membina bakat tempatan yang mampu bersaing di peringkat global.

Dr Huzairi turut menggariskan bahawa kemenangan politik PAS membuka ruang memperkukuh dasar pendidikan Islam di peringkat negeri, sekali gus mengangkat pendidikan sebagai tonggak pembangunan akhlak dan kesejahteraan masyarakat.

“PAS kini mengurus lebih 2,680 PASTI, 154 SRITI, 15 SMITI, dan institusi tinggi seperti KUIZM, KUDQI dan KIDU, dengan misi melahirkan pemimpin masa depan, menyumbang kepada literasi nasional, dan memperkukuh bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan,” ujarnya.

Beliau menambah, program Ijtima’ ini menandakan komitmen PAS untuk terus menawarkan pendidikan berasaskan nilai Rabbani sebagai asas membina negara yang aman, berdaya saing dan diredhai Allah SWT.