KEMAMAN – Kadar pendaratan penyu di sekitar pantai Terengganu semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sehingga Ogos tahun ini 10,000 sarang penyu berjaya direkodkan.
Katanya, jumlah itu meningkat berbanding tahun 2021 yang hanya mencatatkan lebih 7,000 sarang penyu yang menghasilkan lebih 600,000 telur penyu.
“Angaran lebih 400,000 telur daripada jumlah tersebut menetas menghasilkan anak penyu dan dilepaskan kembali ke laut.
“Mengikut statistik, setiap seribu ekor anak penyu yang dilepaskan, seekor akan hidup sehingga dewasa dan kembali semula mendarat ke pantai di mana ia dilepaskan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika program Pusat Santuari Penyu Ma’ Daerah bertenpat di Kerteh Kemaman di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat.
Mengulas mengenai program itu, Dr Azman berkata, lebih 400,000 ekor penyu dilepaskan dan pihaknya menjangkakan 400 penyu akan balik mendarat.
“Walaupun nisbah yang kecil namun kita tetap lepaskan supaya ia berterusan.
“Pada tahun 2022 daripada lebih 7,000 sarang naik kepada hampir 11,000 sarang yang menghasilkan 800,000 lebih telur.
“Lebih 500,000 anak penyu dilepaskan kembali ke laut dan kita berharap 500 anak penyu balik mendarat.
“Melihat statistik yang sedia ada fakta pendaratan penyu di Terengganu semakin meningkat dari tahun ke tahun,” ujarnya.
Beliau berkata, pelbagai usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri bersama agensi-agensi yang terlibat bagi memulihara, kesedaran terhadap telur penyu.
Untuk rekod, pada 15 November 2021, kerajaan negeri meluluskan Pindaan Enakmen Penyu 1951 yang sekali gus mengharamkan penjualan semua spesies telur penyu termasuk tuntung laut.