Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan memandang serius keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menarik balik rayuan terhadap pembebasan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Sistem Visa Luar Negara (VLN). Keputusan ini menimbulkan pelbagai persoalan mengenai komitmen negara dalam memerangi rasuah dan menegakkan keadilan tanpa campur tangan politik.
Sebagai sebuah gerakan Islam yang konsisten dengan prinsip keadilan dan integriti, PAS Wilayah Persekutuan menegaskan:
1. Kebebasan Sistem Kehakiman
Sistem kehakiman negara mesti bebas daripada sebarang pengaruh politik. Keputusan untuk menarik balik rayuan tanpa penjelasan yang telus berisiko menjejaskan persepsi awam terhadap institusi kehakiman Malaysia.
2. Ketelusan dan Akauntabiliti
Rakyat berhak mengetahui asas serta alasan keputusan ini. AGC perlu memberikan penjelasan terbuka mengenai representasi yang dikemukakan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sehingga membawa kepada keputusan ini. Ketelusan adalah kunci kepada kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan dan pentadbiran negara.
3. Keperluan Reformasi Institusi
Kes ini menekankan keperluan mendesak untuk memisahkan kuasa Peguam Negara daripada fungsi Pendakwa Raya. Ini penting untuk memastikan integriti keputusan pendakwaan dan mengelakkan konflik kepentingan. SPRM juga perlu diberi kuasa penuh untuk menyiasat kes-kes berprofil tinggi tanpa gangguan.
4. Komitmen Memerangi Rasuah
PAS Wilayah Persekutuan menyeru kerajaan memperkukuh usaha memerangi rasuah melalui reformasi sistem pentadbiran dan penguatkuasaan, termasuk memperbaiki proses tender kerajaan bagi mengelakkan monopoli serta salah guna kuasa.
Keputusan ini mencetuskan keraguan terhadap keupayaan Malaysia untuk mempertahankan prinsip keadilan. Rakyat Malaysia memerlukan jaminan bahawa negara ini terus berpegang kepada prinsip integriti dan ketelusan demi memastikan kesejahteraan rakyat serta kedaulatan negara.
Ustaz Haji Azhar Bin Yahya
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan